Samsung Galaxy S9/S9 Plus Kini Secara Rasmi Dilancarkan

Peranti utama dari Samsung untuk tahun ini iaitu Samsung Galaxy S9 telah diperkenalkan ke dunia semasa di pameran Mobile World Congress (MWC). Samsung mengeluarkan dua versi, Galaxy S9 dan Galaxy S9 Plus dimana tiada perubahan ketara dapat dilihat dari segi fizikal dari peranti Galaxy S8.



Jangan terpedaya, rekaan Galaxy S9 masih lagi nampak menarik dengan panel hadapan menampilkan Infinity Display yang kelihatan ekslusif untuk peranti Samsung. Galaxy S9 menggunakan skrin berukuran 5.8 inci dan 6.2 inci untuk S9 Plus. Kedua-dua peranti menggunakan panel Super AMOLED keluaran Sasmung dengan resolusi 2960 x 1440.



Samsung juga telah mengubah kedudukan pengimbas cap jari dari di tepi modul kamera ke bahagian bawah. Kedudukan pengimbas cap jari Galaxy S8 dikritik sebelum ini dan Samsung membuat keputusan yang bijak mengubah kedudukan pengimbas cap jari bagi memudahkan pengguna mencapai sensor ini untuk menyahkunci sistem peranti. Peranti ini menggunakan satu lagi sistem nyahkunci iaitu melalui pengecaman wajah menggunakan sensori iris yang terpasang di dalam peranti.

Spesifikasi lain yang sebelum ini sudah diketahui adalah cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 atau Exynos 9810 (SD 845 untuk pasaran Amerika Syarikat), RAM 4GB (S9) 6GB (S9 Plus) dan ROM sebesar 64GB/128GB (UFS 2.1) untuk kedua-dua peranti. Sokongan untuk memori microSD juga disokong sehingga 400GB untuk kedua-dua versi.

Bateri berkapisiti 3,000 mAh untuk S9 dan 3,5000 mAh untuk S9 Plus. Kedua-dua peranti mendapat penarafan IP68 dan menyokong pengecasan pantas bagi sambungan wayar dan sambungan tanpa wayar. Galaxy S9 dan S9 Plus juga dihadirkan dengan pembesar suara steoreo Dolby Atmos yang menurut Samsung boleh membekalkan bunyi audio lebih 40% lebih kuat.



 

Untuk bahagian kamera pula, Galaxy S9 menampilkan tetapan satu kamera manakala S9 Plus pula adalah dwi-kamera. Samsung menjanjikan kelainan untuk pengalaman kamera untuk peranti Galaxy S9 mereka sebelum ini dan ini merupakan kamera pertama dari Samsung yang bukaanya boleh diubah secara mekanikal selain bukaan kamera bernilai f/1.5 dan f/2.4. 



Lensa 12MP generasi ke-2 dari Samsung ini dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi autofokus dwi-piksel yang membolehkan pemfokusan dibuat dengan lebih cepat dan boleh diharap. Prestasi dalam keadaan kurang cahaya juga didakwa naik 30% dan mampu mengambil video slow-motion sehingga 960 frames setiap saat pada resolusi 720p.

Samsung Galaxy S9 dan S9 Plus akan dikuasakan oleh sistem operasi Android 8.0 Oreo dari dalam kotak dan akan dijual mulai 1 Mac melalui kaedah pra-tempah. Harga yang ditawarkan bermula dari RM 3299 untuk versi S9 (64GB), RM 3799 untuk Galaxy S9+ (64GB), RM 3999 untuk Galaxy S9 (128GB) dan RM 4399 untuk Galaxy S9+ (128GB).