Samsung Galaxy S20 FE Dilancarkan - Snapdragon 865, Panel 120Hz, Bateri 4500mAh Dan IP68

Samsung hari ini telah melancarkan Galaxy S20 Fan Edition (FE) sebagai ahli baru dalam siri Galaxy S20. Hadir dengan sokongan rangkaian 5G, ia merupakan peranti mercu terbaharu dari Samsung.

Galaxy S20 FE dimuatkan skrin paparan 6.5 inci Super AMOLED dengan resolusi Full HD+. Ia hadir dengan panel belakang dari jenis plastik, serta mempunyai paparan berlubang yang turut menyokong kadar segar semula 120Hz.



Dari segi kamera, ia dilengkapi tetapan tiga kamera yang terdiri daripada 12MP utama, 12MP sudut lebar, 8MP telefoto serta kamera swafoto dengan sensor 32MP.

Berdasarkan laman rasmi Samsung Malaysia, Galaxy S20 SE dijana cip pemprosesan Snapdragon 865 dengan gandingan RAM 8GB dan storan dalaman sehingga 256GB. Ia turut menyokong slot kad microSD dengan tambahan storan sehingga 1TB.



Selain itu, peranti ini juga mempunyai sokongan penarafan IP68, pengecasan pantas 25W dan Fast Wireless Charging 2.0, serta bateri 4,500mAh. Ia ditawarkan dengan 6 pilihan warna iaitu Cloud Navy, Cloud Lavender, Cloud Mint, Cloud Red, Cloud Orange dan Cloud White.



Samsung Galaxy S20 diletakkan pada harga $699 (~RM 2903). Buat masa ini, Samsung Malaysia belum mengumumkan harga yang akan ditawarkan untuk pasaran tempatan.