Samsung Galaxy S10 Versi Bajet Bakal Hadir Tanpa Pengimbas Cap Jari Dalam Skrin

Samsung pernah dilaporkan bercadang untuk memperkenalkan tiga versi berbeza bagi peranti premium mereka, Galaxy S10 kelak. Versi yang digembar-gemburkan ialah Galaxy S10, S10+ dan sebuah lagi versi Galaxy S10 yang lebih mampu milik.

Terdapat juga laporan yang menyatakan peranti mampu milik berkenaan akan hadir dengan beberapa fungsi dan ciri premium yang ada pada dua lagi versi yang lain. Namun, menurut the Bell, peranti itu dikatakan tidak akan mempunyai pengimbas cap jari dalam skrin.



Mereka terpaksa menggunakan pengimbas cap jari yang diletakkan pada sisi belakang peranti, sama seperti yang digunakan model Moto Z3 Play dan peranti Sony terdahulu. Tindakan itu perlu diambil bagi mengurangkan kos penghasilan peranti. Sebelum ini, terdapat juga ura-ura mengatakan peranti ini tidak akan menggunakan skrin dwi-lengkung.

Sistem pengimbas cap jari dalam skrin ini dibekalkan oleh Qualcomm dengan harga $15(~RM 64) seunit berbanding sistem pengimbas terdahulu yang berharga $2(~RM 8) seunit. Ia sekaligus menjadikan sistem berkenaan tujuh kali lebih mahal.

Samsung Galaxy S10 mungkin akan dilancarkan pada tahun hadapan. Samsung dikatakan ingin mengikut jejak langkah Apple untuk memperkenalkan tiga versi pada satu siri keluaran yang sama. Apple dilaporkan akan melancarkan tiga model iPhone pada tahun ini.

Sumber