Samsung Galaxy S10 Didakwa Bakal Terima Dua Fungsi Menarik Menerusi Kemaskini

Samsung memang terkenal dengan Galaxy S dan Galaxy Note yang menawarkan spesifikasi kelas premium dengan fungsi-fungsi menarik.

Akan tetapi, sesuatu yang masih lagi kurang pada siri Galaxy S10 terbaru mereka kali ini sudah semestinya pengecasan pantasnya.

Namun, ia dijangka akan berubah tidak lama lagi apabila Samsung dikatakan akan membawa sokongan pengecasan pantas 25W menerusi kemaskini OTA bagi Galaxy S10 dalam masa terdekat.



Untuk pengetahuan anda, secara umumnya Galaxy S10 sudah pun menyokong pengecasan berkenaan sejak dilancarkan namun ia telah dihadkan oleh perisian.

Menerusi kemaskini itu nanti, Samsung akan membatalkan had bagi pengecasan pantas 25W sekaligus membolehkan pengguna Galaxy S10 menikmatinya.

Selain itu, Galaxy S10 juga dilaporkan akan turut menerima mod malam seakan "Night Sight" yang digunakan oleh Google Pixel. Ketika ini, mod malam "Bright Night" yang dimiliki Galaxy S10 dikatakan kurang memuaskan hati pengguna.

Sekiranya laporan ini tepat, Samsung Galaxy S10 pastinya akan dapat menarik lebih ramai pengguna dengan penawaran dua fungsi menarik ini nanti.

 

Sumber: BGR