Samsung Galaxy Note 9 Tampil Dengan Bateri 4000 mAh, Storan 512 GB Dan S-Pen Yang Lebih Baik

Lewat malam tadi, peranti flagship Samsung Note 9 telah dipertontonkan buat kali pertama kepada umum pada acara Galaxy Unpacked 2018.

Membawakan rekaan mirip keluaran sebelumnya, Samsung mempertaruhkan dua versi; RAM 6GB/128GB dan RAM 8GB/512GB.



Hadir dengan skrin paparan tanpa takuk bersaiz 6.4 inci Super AMOLED Quad HD+, ia dipacu oleh cip pemprosesan Exynos 9810. Ia turut dilengkapi dengan sistem penyejukan dipanggil sebagai Water Carbon Cooling system, direka untuk memberi kelancaran, dan prestasi yang baik, lebih-lebih lagi bagi penggunaan permainan yang lama.



Walaupun mempunyai storan dalaman yang besar, memori simpanan boleh ditambah sehingga 512GB melalui sokongan kad MikroSD.





Selain itu, Samsung turut memperkenalkan S-Pen bersama sokongan Bluetooth. Selain berfungsi untuk menulis, ia kini boleh digunakan ibarat alat kawalan jauh untuk mengambil gambar, buka aplikasi dan lain-lain.



Edisi kali ini dibekalkan dengan bateri 4000mAh, kapasiti terbesar pernah digunakan pada siri Note. Bagi sistem kamera, Note 9 dipasang dengan dwi kamera utama 12MP+12MP iaitu gabungan lensa sudut luas dan telefoto. Kamera hadapan pula menggunakan lensa 8MP.

Berlainan dengan model terdahulu, sensor pengimbas cap jari ditempatkan pada kedudukan yang lebih selesa untuk diakses. Ciri lain yang boleh didapati pada peranti ini adalah pensijilan IP68 tahan air, dan nyahkunci melalui imbasan iris serta wajah.

Samsung Note 9 dijadualkan pelancarannya pada pasaran tempatan pada 15 Ogos hadapan. Harga pasarannya adalah RM 3699 untuk versi 128GB dan RM4599 bagi model 512GB.