Samsung Galaxy Note 9 Dilancarkan Secara Rasmi Bagi Pasaran Malaysia

Pada 9 Ogos yang lepas, Samsung telah memperkenalkan peranti Galaxy Note 9 di peringkat global dalam satu majlis di New York. Belum cukup seminggu selepas majlis berkenaan, hari ini syarikat gergasi Korea itu telah pun membawa peranti premium tersebut ke Kuala Lumpur.

Diperkenalkan dalam satu majlis yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, peranti ini hadir dengan reputasi besar sebagai antara peranti utama untuk tahun ini. Bagi memenuhi standard yang diletakkan kepadanya, Galaxy Note 9 ini didatangkan cip Exynos 9810.



Selain itu, sama seperti peranti Note 8, Galaxy Note 9 juga hadir dengan skrin Super AMOLED dengan resolusi Quad HD+. Namun kali ini, Note 9 mempunyai skrin paparan bersaiz 6.4-inci.

Dari segi kameranya pula, peranti ini menggunakan gabungan lensa 12MP sudut luas serta 12MP telefoto. Kameranya juga hadir dengan sokongan penstabilan imej optikal yang didakwa akan menghasilkan video yang lebih stabil tanpa gegaran yang ketara.



Galaxy Note 9 ini turut mempunyai pensijilan IP68 yang dianugerah selepas peranti ini lulus ujian rendaman selama 30 minit di dalam air pada kedalaman 1.5 meter. Fungsi mikroSD sehingga 512GB juga merupakan salah satu sokongan lain yang didatangkan bersama peranti ini.

Malah, peranti ini sendiri telah dilengkapi dengan dua pilihan simpanan dalaman yang besar iaitu 128GB(6GB RAM) dan 512GB(8GB RAM). Dari segi bateri pula, Note 9 bakal dikuasakan oleh bateri berkapasiti 4,000 mAh.



Samsung Galaxy Note 9 ini boleh mula didapati di pasaran Malaysia pada 24 Ogos ini dengan harga yang disyorkan adalah pada RM 3,699 (128GB) dan RM 4,599 (512GB). Ia hadir dengan tiga variasi warna di mana Midnight Black dan Metallic Copper mempunyai S Pen dengan warna yang sama, manakala Ocean Blue dengan S Pen berwarna kuning.