Samsung Galaxy Note 9 Dilancarkan Pada 24 Ogos Ini

Samsung Galaxy Note 9 akan diperkenalkan di Korea Selatan pada 24 Ogos ini, lapor sebuah portal tempatan ETNews semalam. Sekiranya ia berlaku, ini bermakna Note 9 telah dilancarkan lebih kurang 3 minggu lebih awal berbanding peranti sebelumnya, Note 8 pada tahun lepas. Note 8 dilancarkan pada 15 September 2017.

Perkara itu menjadi tular apabila beberapa pengendali perkhidmatan mudah alih negara tersebut mendakwa peranti berikut akan tersedia di kedai-kedai mereka bermula daripada 24 Ogos ini. Malah, terdapat pengendali yang mengumumkan bahawa mereka akan mula membuka pra-tempahan bagi Note 9 ini 10 hari sebelum ia dilancarkan.


Kredit : Samsung


Bagaimanapun, Samsung menerusi pegawai kanannya telah mengesahkan bahawa peranti berkenaan akan dipertontonkan kepada umum buat pertama kali di New York pada 9 Ogos nanti. Mereka berharap agar peranti ini akan menjadi pencabar yang kuat kepada model iPhone yang akan dilancarkan pada tahun ini.

Galaxy Note 9 akan hadir dengan skrin Super AMOLED 6.4 inci, cip Snapdragon 845, dwi-kamera utama dengan gabungan lensa 12MP+12MP, kamera swafoto 8MP dan bateri 4,000mAh. Namun, peranti ini mungkin tidak akan menggunakan pengimbas cap jari dalam skrin seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.



Samsung sebelum ini telah menegaskan bahawa mereka akan membawa beberapa pembaharuan terhadap teknologi S-Pen pada keluaran kali ini. Antaranya ialah ia dapat berfungsi sebagai alat kawalan untuk Samsung TV dan juga boleh digunakan untuk mengawal kamera peranti dari jarak jauh.

Mereka dikatakan terpaksa melancarkan Galaxy Note 9 ini lebih awal selepas sambutan yang kurang menggalakkan pada peranti Galaxy S9. Walaupun Samsung belum mengumumkan harga bagi peranti ini, pakar industri menganggarkan Samsung Note 9 akan dijual pada harga sekitar $ 900 - $ 1000 (~RM 3,940 - RM 4,040).

Sumber