Samsung Galaxy Home Dirasmikan Dengan Fungsi Bantuan Pintar Samsung Bixby

Seperti yang kita sedia maklum, Samsung telah mengadakan satu majlis khas bagi memperkenalkan peranti Galaxy Note 9 di New York, semalam. Namun, ia bukanlah satu-satunya produk yang dipertontonkan dalam majlis berkenaan.



Samsung juga telah mengumumkan penyertaan mereka ke dalam pasaran pembesar suara pintar dengan mengumumkan Galaxy Home. Peranti ini bakal menjadi pesaing baru kepada pembesar suara pintar sedia ada seperti Amazon Echo, Google Home dan Apple HomePod.

Ia juga akan hadir dengan sokongan pembantu pintar Samsung Bixby bagi membolehkannya melaksanakan beberapa arahan dan tugas seperti menjawab soalan dan memainkan muzik. Samsung mendakwa Galaxy Home mampu melakukan setiap perkara yang dilakukan oleh Bixby di telefon pintar mereka.



Untuk fungsi memainkan muzik itu, Samsung telah berkerjasama dengan penstriman muzik terkemuka, Spotify bagi menawarkan perpustakaan lagu dan menjalankan fungsi tersebut.

Malah, reka bentuknya yang cantik dan kelihatan seperti sebuah pasu menyebabkan ia sesuai diletakkan di atas meja atau rak di setiap rumah kediaman.



Bagaimanapun, Samsung masih belum mahu menceritakan dengan lebih lanjut berkaitan peranti berkenaan. Namun ia dijangka akan dibincangkan dengan lebih lanjut semasa satu acara persidangan melibatkan pembangun mereka yang akan diadakan pada November nanti.