Samsung Galaxy Fold, Sebuah Inovasi Yang Amat Mengecewakan

Pada bulan Februari yang lalu, Samsung telah mengejutkan industri teknologi terutamanya industri telefon pintar dengan memperkenalkan sebuah peranti boleh lipat pertama di dunia iaitu Samsung Galaxy Fold. Namun pelancaran rasmi peranti ini terpaksa ditangguhkan ketika itu kerana mempunyai pelbagai masalah terutamanya isu skrin yang sensitif dan Samsung telah melancarkannya secara rasmi pada 6 September lalu.

Baru-baru ini, sebuah media teknologi dari Amerika Syarikat iaitu CNET telah membuat ulasan mengenai peranti terbaru dari Samsung tersebut. Menurut CNET, terdapat beberapa kelemahan yang terdapat pada Samsung galaxy Fold yang membuatkan peranti ini tidak sesuai untuk digunakan sebagai peranti harian.



Yang pertama ialah dari segi reka bentuk skrinnya yang amat sensitif dan mudah rosak. Ia merupakan sebuah skrin bersaiz 7.3 inch Dynamic Amoled dan ada laporan dari thecrunch mengatakan bahawa seorang pengguna membuat aduan mengenai kerosakan yang terdapat pada skrin utama Samsung Galaxy Fold ketika beliau meletakkannya di dalam poket. Terdapat kecacatan pada skrin peranti itu sehingga beliau merasa amat kecewa kerana kualiti Samsung Galaxy Fold tidak seperti harganya.



Yang kedua ialah dengan tiada sebarang perlindungan kalis air seperti IP67 atau IP68, ia jelas menunjukkan bahawa peranti ini berisiko tinggi untuk dimasuki air dan juga habuk. Jika dilihat peranti-peranti mercu yang lain seperti Samsung Galaxy Note 10 Plus dan Iphone 11 Pro Max, kedua peranti tersebut mempunyai perlindungan kalis air dan habuk IP68 dan amat mengecewakan buat Samsung Galaxy Fold yang boleh dikatakan berharga dua kali ganda dari Note 10 Plus tiada sebarang pelindung kalis air dan habuk.



Seterusnya ialah peranti ini hadir dengan skrin hadapan bersaiz 4.6 inch dan mempunyai takuk dan bezel yang amat besar sehingga ia nampak seperti sebuah peranti yang murah.

Dari segi bateri pula, Samsung Galaxy Fold hadir dengan bateri berkapasiti 4,500 mAh dan prestasinya agak mengecewakan. Menurut CNET, mereka telah menjalankan ujian ketahanan bateri dengan mengaktifkan airplane mode dan ia hanya mampu bertahan selama 12 jam 15 minit berbanding Samsung Galaxy Note 10 Plus yang mampu bertahan selama 21 jam.



Lebih mengejutkan apabila Samsung Galaxy Fold hanya mendapat skor 7.4 oleh CNET dan berada di belakang Samsung A50 yang mendapat skor sebanyak 8.4

Jelas bahawa Samsung melancarkan Samsung Galaxy Fold kepada pengguna untuk bermegah-megah dengan sebuah peranti mewah walaupun tidak ada kelebihan yang lain selain ia hanya boleh dilipat. Jika dilihat pada keupayaan kamera, ia hanya menghasilkan imej yang biasa sahaja dan masih banyak aplikasi yang masih belum dikemaskini untuk peranti ini.

Pra-tempahan bagi peranti ini akan bermula pada 9 Oktober ini dengan harga RM 8,388.

Sumber: CNET, Tech Crunch