Samsung Galaxy A8s - Peranti Pertama Dengan Rekaan Infinity-O

Selepas digembar-gemburkan sejak beberapa minggu lalu, akhirnya Samsung sudahpun memperkenalkan peranti dengan rekaan Infinity-O pertama mereka, Galaxy A8s.

Model baru ini mempunyai panel skrin bersaiz 6.4-inci FHD+. Samsung tidak memaklumkan jenis panel skrin yang digunakan, namun ramai pemerhati berpendatan ia adalah skrin LCD.Kamera swafoto pada skrin ini dilengkapi dengan lensa 24MP dengan bukaan f/2.0, manakala tri-kamera utamanya pula hadir dengan gabungan sensor utama 24MP f/1.7, lensa telefoto 10MP f/2.4 serta sensor khas kedalaman 5MP f/2.2. Sensor fizikal bagi imbasan cap jari juga terletak dibelakang peranti.

Di samping menambah "lubang" pada skrin paparan, Samsung juga telah membuang satu lagi "lubang" iaitu bicu audio 3.5mm. Ini membuatkan Galaxy A8s ini sebagai antara model terawal Samsung tanpa sokongan tersebut.

Dari segi spesifikasi dalaman pula, peranti ini disokong oleh cip Snapdragon 710, pilihan memori 6GB/8GB dengan simpanan dalaman sebesar 128GB. Tidak cukup? Anda boleh menggunakan kad mikroSD sehingga 512GB.

Ia juga akan dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,400mAh serta dijalankan menggunakan Android 8.1 Oreo dari dalam kotak. Tiada maklumat samada peranti ini akan menerima Samsung One UI atau tidak yang dapat diperolehi.

Samsung Galaxy A8s ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu biru, kelabu dan hijau. Ia boleh mula dipra-tempah pada 21 Disember nanti namun tiada maklumat mengenai harga yang diberikan.

 

Sumber: Phone Arena