Samsung Galaxy A52 Dan A72 Rasmi, Ini Spesifikasi Penuh

Siri Galaxy A merupakan antara telefon kelas pertengahan yang boleh dikatakan popular bagi jenama Samsung. Bagi meneruskannya, Samsung hari ini melancarkan Galaxy A52 dan Galaxy A72.

Menariknya, kedua-duanya tampil dengan beberapa ciri baharu yang seiring dengan perkembangan telefon pintar semasa, iaitu kadar penyegaran tinggi serta sokongan 5G.

Samsung Galaxy A72

Seperti model terdahulu, Galaxy A72 mempunyai skrin 6.7 inci Super AMOLED FHD+ dengan paparan berlubang Infinity-O pada bahagian tengah skrin, kecerahan hingga 800nits serta kadar penyegaran 90Hz.

Telefon ini dikuasakan cip Snapdragon 720G bersama pilihan RAM 6/8GB dan storan dalaman 128/256GB. Jika mahukan storan tambahan, slot mikroSD disokong sehingga 1TB.

Terdapat kuad kamera di belakang telefon - 64MP utama, 8MP telefoto, 12MP ultra lebar dan 5MP makro. Sementara kamera swafoto adalah 32MP.

Selain itu, kameranya juga mempunyai keupayaan zum digital hingga 30x serta zum optikal hingga 3x.

Bateri pula dimuatkan sebesar 5000mAh dengan pengecasan pantas 25W. Empat pilihan warna diberikan, iaitu Awesome Black, Awesome White, Awesome Blue dan Awesome Violet.

Namun, telefon ini hanya menerima rangkaian LTE. Bermakna, anda boleh batalkan niat memilikinya jika mahukan sebuah telefon 5G.

Galaxy A52

Galaxy A52 menawarkan dua varian dalam siri ini, iaitu varian biasa dan satu lagi dengan sokongan 5G.

Dari segi skrin, ia kecil sedikit berbanding Galaxy A72 yang mana hadir dengan 6.5 inci Super AMOLED FHD+ serta paparan Infinity-O pada bahagian tengah.

Akan tetapi, kadar penyegaran pada A52 5G adalah sehingga 120Hz sementara A52 biasa hanya 90Hz.

Ini termasuk perbezaan terhadap konfigurasi memori dimana A52 5G ditawarkan RAM 6/8GB berserta storan 128/256GB. Manakala A52 hadir dengan 4/6/8GB RAM dan storan 128/256GB. Ia turut menyokong slot mikroSD sehingga 1TB.

Untuk cip yang menguasakannya, Galaxy A52 dijana Snapdragon 720G sementara A52 5G adalah Snapdragon 750G.

Kedua-dua versi ini masih dilengkapi kuad kamera belakang - 64MP utama, 12MP ultra-lebar, 5MP makro dan 5MP depth. Sementara kamera hadapan pula 32MP. Keupayaan zum telefon ini hanya zum digital hingga 10x sahaja.

Bateri yang dimuatkan bagi dua telefon ini adalah berkapasiti 4500mAh dengan pengecasan pantas 25W. Selain itu, ia juga masih menawarkan pilihan warna yang sama dengan Galaxy A72.

Antara spesifikasi lain bagi kesemua siri Galaxy A baharu ini adalah tampil dengan pembesar suara stereo Dolby Atmos dan menerima penarafan kalis air dan debu IP67.

Tambahan lagi, siri ini juga akan menerima kemas kini Android selama 3 tahun dan kemas kini keselamatan sehingga 4 tahun yang menjadikan ia agak berbaloi.

Harga Jualan

Galaxy A52 dijual dengan harga bermula €349 (~RM1712) sementara Galaxy A52 5G bermula €429 (~RM2105). Manakala bagi Galaxy A72 pula adalah bermula €449 (~RM2203).

Buat masa sekarang, ia hanya dijual untuk pasaran tertentu sahaja dan mungkin akan tiba di tanah air tidak lama lagi.

Beli produk Samsung di:
Shopee (https://invol.co/cl31hsh)
Lazada (https://invol.co/cl31hu9)