Samsung Galaxy A51, 5 Sebab Untuk Anda Memilikinya

Tahun 2019 telah membuktikan bahawa jurang antara telefon pintar kelas pertengahan dan kelas bangsawan semakin lama semakin rapat. Dengan lambakan peranti pada tanda harga bawah RM1,300, membuat pilihan yang tepat mengikut citarasa peribadi bukanlah mudah.

Pada tahun ini, Samsung meneruskan legasi barisan peranti mampu milik Galaxy A51 dan Galaxy  A71. Iterasi baru kali ini membawakan beberapa penambahan positif baru dari model sebelum ini. Ini adalah 5 sebab kenapa Samsung Galaxy A51 pilihan peranti mampu milik terbaik yang anda boleh miliki pada ketika ini.

1. Skrin Terbaik Tanpa Koyakan Poket




Seperti yang sedia maklum, Samsung memang terkenal sebagai pembuat skrin OLED yang terbaik di pasaran ketika ini. Oleh yang demikian, anda boleh menjangkakan kualiti skrin yang hebat digunapakai pada kesemua peranti mereka walaupun pada kelas pertengahan.

Seperti contoh, Samsung Galaxy A51 memperagakan skrin Super AMOLED berukuran 6.5 inci dengan nisbah skrin 20:9. Walaupun ia merupakan model peranti mampu milik, namun skrin yang digunakan adalah bertaraf peranti bangsawan yang berada di pasaran ketika ini.

Warna yang dihasilkan sangat memuaskan dengan ketajaman dan kontras yang baik, memberikan pengalaman menonton yang lebih puas.



Binaan skrin pada peranti ini juga sangat terang walaupun berada di bawah cahaya matahari terik dengan sudut pandangan yang luas dan jelas.

2. Kuad Kamera Pelbagai Fungsi




Tahun lepas kita dapat saksikan perlumbaan kamera dalam industri telefon pintar. Kebanyakan peranti di pasaran sudahpun menggunakan paling kurang 3 tetapan kamera untuk memberikan penggunaan yang lebih versatil.

Samsung Galaxy A51 kali ini menampilkan 4 jenis kamera berbeza, 5 termasuk kamera swafoto. Lensa ini disusun dalam bentuk 'L' dengan modul segi empat.  Kamera belakang didatangkan dengan 48MP bagi lensa utama, 12MP lensa sudut ultra lebar, 5MP lensa makro dan 5MP lensa bokeh serta lensa kamera swafoto dengan 32MP.

1.Kamera Utama 48MP, f/2.0




Dengan sensor 48MP, gambar yang dihasilkan oleh kamera utama cukup memuaskan untuk peranti pada tanda harga sebegini. Penghasilan julat dinamik juga memuaskan dengan bantuan Smart HDR.

2.Kamera Sudut Luas 12MP, f/2.2




Melalui kamera sudut luas, anda dapat merakam lebih banyak pemandangan dan seni bina bangunan bak jurugambar profesional. Menggunakan kamera sudut luas akan menjadikan objek yang lebih dekat dengan kamera kelihatan lebih besar. Dengan kata lain, semakin jauh dari subjek, semakin kecil ia kelihatan.

Ini bermakna, perspektif gambar yang diambil akan kelihatan lebih luas dan menyeluruh tanpa memerlukan aksesori tambahan. Kamera sudut luas juga membantu dalam keadaan ruang yang sempit.

3. Kamera Makro 5MP, f/2.4




Seperti yang anda tahu, kamera makro sangat membantu untuk mengambil gambar objek pada jarak dekat. Hasil gambar melalui kamera makro memberikan perincian yang cukup.

4.Kamera Bokeh 5MP , f/2.2



Galaxy A51 turut didatangkan dengan kamera yang dapat menghasilkan kesan bokeh. Melalui kamera bokeh atau Live Focus ini, anda dapat menghasilkan gambar setanding kamera profesional dan menjadikan objek lebih menonjol. Tahap bokeh juga boleh ditetapkan agar tidak terlalu berlebihan dan bersesuaian dengan objek.

5.Kamera Swafoto 32MP, f/2.2 




Bagi kamera hadapan pula, dengan kamera 32MP, ia mampu menghasilkan gambar swafoto dengan resolusi tinggi yang sangat baik, penuh dengan perincian dan warna yang tidak terlalu tawar.

3. Bateri Bak Tongkat Ali, Kuat Dan Tahan Lama




Galaxy A51 didatangkan dengan kapasiti bateri 4,000mAh yang mampu bertahan sekitar 7jam bagi penggunaan berterusan termasuk melayari aplikasi media sosial, menonton video, bermain permainan video dan lain-lain.

Bagi penggunaan bateri sebanyak 35%, anda dapat menonton video sekitar 3 jam. Jika anda menggunakan peranti ini hanya untuk bermain permainan video pula, ia mampu bertahan sehingga 5 ke 6 jam. Bagaimanapun, ianya bergantung kepada tahap penggunaan anda.

Seterusnya, dengan sokongan pengecasan 15W dan kabel type-C pada Galaxy A51, ia memerlukan masa sekitar 1jam 45minit untuk pengisian penuh dari 0%.

4. One UI 2.0


Galaxy A51 mengguna pakai antaramuka terkini Samsung iaitu OneUI 2.0 dengan sistem operasi Android 10. Ia membawakan beberapa fungsi baru termasuk mod gelap yang lebih menyeluruh dan navigasi gerakan yang baru.



Melalui navigasi gerakan baru ini, hanya perlu leret ke kiri atau kanan untuk kembali pada halaman sebelumnya. Anda juga boleh menukar kepada butang navigasi seperti versi sebelum ini. Bagi recent apps, leret sedikit dari bawah dan recent apps akan dipaparkan.



Tiada lagi barisan senarai mod kamera yang panjang di bahagian kamera dan mod kamera seperti pro, panorama, night, macro serta lain-lain disimpan di bahagian 'More' supaya lebih tersusun. Folder ini juga boleh disesuaikan mengikut citarasa anda.



Seterusnya, One UI 2.0 turut menawarkan ciri Edge Panel dengan pintasan yang boleh disesuaikan. Melalui tetapan, anda boleh menyesuaikan lokasi, saiz, dan warna bagi handle Edge Panel serta boleh menetapkan sehingga 10 Panel secara maksimum.

Walaupun tidak banyak perubahan dalam One UI 2.0, ia mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding versi One UI 1.0.

5. Pembesar Suara Lantang




Galaxy A51 hanya didatangkan dengan pembesar suara jenis mono. Namun, dengan sokongan Dolby Atmos, peranti ini memberikan kualiti audio yang lebih baik dan jelas berbanding model sebelumnya. Dari segi kelantangan, ia boleh mencapai lebih 100db dengan kualiti audio yang cemerlang.

Selain itu, dengan bicu audio 3.5mm yang disertakan pada Galaxy A51, peranti ini dapat memberikan pengalaman mendengar melalui penggunaan fon telinga dengan lebih baik.

Anda boleh dapatkan Samsung Galaxy A51 ini pada tanda harga RM1,299. Jika mahukan spesifikasi yang lebih tinggi, dapatkan Galaxy A71. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi Samsung Malaysia.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=l27-19Szn7M[/embed]

Berkaitan