Samsung Dilapor Akan Ambil Alih Syarikat Pembangun Teknologi 10X Zoom Optikal

Tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan teknologi 10x zoom optikal , Samsung kini didakwa sedang dalam proses mengambil alih syarikat yang membangunkan teknologi berkenaan.

Corephotonics adalah sebuah syarikat yang dikatakan memiliki lebih dari 150 paten berkenaan teknologi zoom yang boleh digunakan oleh kamera telefon pintar.

Kapsyen: Phone Arena


Bukan sahaja 10x zoom optikal, mereka juga dilaporkan sedang dalam usaha membangunkan tetapan kamera yang mampu membekalkan sehingga 25x faktor zoom.

Menurut laporan SamMobile, pengambil alihan tersebut mungkin melibatkan kos sehingga $155 juta(~RM 638 juta) sekiranya berjaya.

Akan tetapi, baik Samsung mahupun Corephotonics kedua-duanya masih belum memberi maklumbalas setakat ini.

Difahamkan juga, Corephotonics sebelum ini pernah bekerjasama dengan OPPO memperlihatkan teknologi 5x zoom optikal. OPPO beberapa minggu lalu sudah mengesahkan bahawa mereka bakal mempertontonkan kamera dengan teknologi 10x zoom optikal pada MWC 2019.

 

Sumber: SamMobile