Samsung Dan LG Dilaporkan Sedang Membangunkan Monitor Mudah Alih Untuk Telefon Pintar

Monitor mudah alih itu dikatakan bersaiz 14.1 inci dan dilengkapi bateri terbina dalam.


2 firma pengeluar skrin terbesar dunia, LG dan Samsung dilaporkan sedang membangunkan monitor mudah alih yang khusus untuk disambungkan bersama peranti pintar.

Menurut laporan oleh ET News, monitor mudah alih yang dinamakan “Cloud Tops” itu digambarkan sebagai sebuah monitor nipis dan ringan bagi memberikan lebih paparan kepada pengguna.

Setakat ini belum ada imej awal didedahkan rupa monitor tersebut. Tetapi dikhabarkan monitor mudah alih LG itu bersaiz 14.1 inci, seberat 600gram dan setebal 9mm. Ia juga dilengkapi dengan bateri terbina dalam berkapasiti 5,000 mAh.

Sementara monitor mudah alih Samsung pula turut dikhabarkan akan bersaiz 14.1 inci, berat kurang dari 1kg dan dilengkapi bateri terbina dalam berkapasiti 10,000 mAh.

Kedua-dua model monitor itu juga akan dilengkapi dengan paparan FHD dan dijangka akan dilancarkan pada suku ke-3 tahun ini.

Sebelum ini jika anda masih ingat, Samsung sudah membangunkan aplikasi Samsung DeX yang membolehkan barisan model telefon pintar seperti Note10 dan S10 disambungkan kepada monitor seperti TV dan komputer.

Malah pada tahun 2011 dahulu, Motorola juga pernah mengeluarkan monitor khas untuk telefon pintar Android yang dikenali sebagai Motorola Atrix 4G Webtop.

Kapsyen: Motorola Atrix 4G Webtop sudah pun ditamatkan penbgeluarannya sejak 2012 dahulu.


Sumber: liliputing