Samsung Cuba Memperkenalkan Telefon Pintar Dengan 2 Skrin Paparan

Samsung merupakan pengeluar telefon pintar pertama yang membawa skrin paparan lengkung ke dalam rekaan telefon pintar utama melalui Galaxy S6. Kini mereka cuba memperkenalkan idea telefon pintar dengan 2 skrin paparan walaupun konsep sebegitu sudah wujud dalam pasaran.

Paten tersebut telah ditemui oleh sebuah blog Belanda, LetsGoDigital yang mendedahkan beberapa konsep dari Samsung mengenai skrin yang dipaparkan di depan dan di belakang peranti.

Paten yang didaftarkan di Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO) pada 4 Januari tetapi permohonan dihantar pada 12 April 2017. Permohonan paten tersebut mengandungi 3 model dengan fungsi yang berbeza.

Kapsyen: Gambar dari LetsGoDigital


Model pertama menampilkan skrin paparan berterusan disambung di tepi sehingga ke belakang peranti. Ini membolehkan peranti tersebut mempunyai skrin paparan di bahagian hadapan dan di belakang peranti.

Tidak dapat dipastikan lagi apa kelebihan yang diperolehi dari rekaan skrin sebegini namun membolehkan 2 pengguna menggunakan 2 paparan berasingan jika peranti diletakkan dalam kedudukan menegak di bahagian tepi.

Kapsyen: Gambar dari LetsGoDigital


Rekaan kedua menampilkan skrin penuh di bahagian panel hadapan dan 30% skrin paparan di bahagian panel belakang. Konsep sebegini sudah diaplikasikan oleh Meizu melalui peranti Meizu Pro 7 mereka yang menampilkan skrin paparan kecil di bahagian belakang peranti.

Skrin kedua di bahagian belakang ini boleh digunakan untuk mempaparkan maklumat-maklumat penting seperti WhatsApp, waktu, dan notifikasi lain tanpa mengaktifkan skrin paparan utama.

Kapsyen: Gambar dari LetsGoDigital


Rekaan ketiga pula menampilkan skrin paparan meliputi kedua-dua panel melalui bahagian bawah peranti. Rekaan ini sama seperti rekaan pertama cuma berbeza dari segi liputan skrin dimaana skrin melalui bahagian tepi untuk rekaan pertama dan melalui bahagian bawah untuk rekaan ketiga.

Inovasi merupakan perkara penting lebih-lebih lagi dalam dunia telefon pintar yang semakin bergerak pantas dari pelbagai sudut namun konsep rekaan Samsung ini diragui dapat mendapat tempat di hati pengguna sekiranya Samsung tidak menampilkan fungsi yang ketara untuk skrin paparan ekstra jika rekaan ini menjadi kenyataan satu hari nanti.

Sumber