Samsung Cipta Bateri Yang Mampu Dicas Penuh Dalam Masa 12 Minit

Antara masalah yang sering pengguna telefon pintar hadapi adalah kuasa bateri yang tidak mampu bertahan lama, dan tempoh yang agak panjang untuk mengisi penuh bateri terbabit.

Melihat kepada permasalahan itu, Samsung mungkin mempunyai jalan penyelesaian yang bakal merubah teknologi bateri lithium-ion sedia ada.

Samsung Electronic dilaporkan telah berjaya mencipta bateri lithium-ion dihasilkan dari bebola grafena (graphene) yang berupaya untuk tahan lebih lama dan dicas dengan pantas.

Menurut Samsung Advanced Institute of Technology (SAIT), penggunaan bebola grafena dalam penghasilan bateri itu mampu meningkatkan kapasiti bateri sebanyak 45% dan keupayaan pengecasan 5 kali lebih pantas daripada biasa.

Bateri lithium-ion sedia ada mengambil masa sehingga satu jam untuk dicas penuh dan dengan teknologi yang dibangunkan oleh Samsung ini, ia mampu dicas dalam tempoh 12 minit. Syarikat turut menjelaskan bahawa bateri baru itu mampu mengekalkan suhu pada 60 darjah celcius dan ia sangat sesuai digunakan pada kereta elektrik.



Bebola grafena mempunyai struktur seakan-akan "bertih jagung" ini digunakan pada lapisan pelindung katod dan anod, dengan itu kapasiti bateri serta pengecasan dapat dipertingkatkan.

Sumber: Nature, Forbes