Samsung & Apple Mengumumkan 'Genjatan Senjata' Dalam Salah Satu Kes Pertikaian Paten Terbesar Dalam Sejarah

Apple Inc. dan Samsung Electronics Co. telah mengumumkan yang mereka akan menyelesaikan masalah pertikaian paten di antara mereka di luar mahkamah. Kes bermula apabila mendiang Steve Jobs mengumumkan 'perang' terhadap pembuat telefon pintar Android yang lain.



Apple menuduh Samsung dengan sewenang-wenangnya meniru rekaan peranti iPhone mereka. Hasilnya, aksi saman-menyaman di antara dua gergasi teknologi bernilai ratusan juta USD$.

Apple dan Samsung bagaimanapun tidak mendedahkan butiran 'pendamaian' mereka. Pertikaian antara organisasi teknologi sudah menjadi perkara biasa sejak dari dahulu. Inovasi, rekaan, dan penciptaan merupakan perkara sensitif kerana ia boleh menjadi faktor kepada penguasaan zaman yang akan datang.

Sebagai contoh, memang diakui Apple menerusi iPhone pertama mereka merevolusikan pasaran telefon pintar ketika itu dengan memperkenalkan peranti yang lebih kompak, sistem operasi yang lebih lancar dan paparan yang lebih menarik kepada pengguna.



Tidak adil juga untuk pembuat peranti Android jika mengatakan yang mereka sahaja yang mengikuti rekaan yang dikeluarkan oleh Apple Inc. kerana iPhone X juga bukan lah peranti pertama menggunakan rekaan takuk di dalam skrin paparan mereka. Peranti iPhone 7 Plus juga bukan peranti pertama yang menggunakan tetapan dwi-kamera dan juga kalis air.

Pertikaian sebegini digunakan bagi menganggu pesaing masing-masing di samping memaksa pesaing mereka untuk mengubah rekaan asal produk mereka. Contoh terbaik kes dalam sejarah adalah Kellogg Co dan juga National Biscuit Co (Nabisco).



Apple Inc. masih terlibat dengan kes bayaran royalti, kali ini  dengan pembuat cip dari San Diego Qualcomm Inc yang melibatkan beberapa mahkamah di beberapa benua. Apple menuduh Qualcomm mengenakan bayaran yuran yang sangat tinggi kepada pembekal-pembekal Apple. Qualcomm bertindak balas dengan permohonan mahkamah supaya sesetengah peranti iPhone tidak dibenarkan dijual di pasaran.