Samsung Akan Hasilkan Cip Khas Untuk Melombong Matawang Kripto

Antara topik yang kerap kali dibualkan ketika ini adalah mengenai pelombongan matawang kripto seperti Bitcoin, Ethereum dan beberapa matawang digital yang lain.

Samsung, selaku pengeluar cip terbesar selain Intel, telah mengesahkan sudah mula menceburi arena pelombongan itu dengan menghasilkan cip ASIC (Application-Specific Integrated Circuit), khusus untuk melombong matawang terbabit.

Menurut jurucakap syarikat kepada laman TechCrunch, " Samsung kini terlibat dengan pembuatan cip untuk melombong matawang kripto. Walaubagaimanapun, kami tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai pelanggan kami."

Pengumuman tersebut disusuli dengan laporan media dari Korea Selatan dimana Samsung sudah menghasilkan cip memori berkapasiti tinggi untuk GPU, yang kebiasaannya digunakan untuk mengendalikan grafik pada komputer tetapi juga digunakan untuk tujuan perlombongan.

Kehadiran Samsung dalam lapangan matawang kripto dilihat bakal memberi saingan kepada TSMC yang ketika ini menerajui penghasilan cip ASIC, majoritinya dibekalkan kepada pelombong Bitcoin berpengkalan dari China, Bitmain, yang mempunyai pegangan pasaran lebih dari 70%.

Sumber: Tech Crunch