Samsung Acah Pelancaran Cip Pemprosesan Exynos Terbaru Minggu Hadapan

Baru sahaja kami melaporkan mengenai rancangan Huawei untuk membangunkan cip Kirin 990, muncul pula laporan mengenai sistem cip Exynos baru dari Samsung.

Samsung dilihat telah mengacah pelancaran satu sistem cip Exynos baharu, dipercayai akan digelar Exynos 9820, minggu hadapan. Ia dibuat melalui satu kiriman di laman Twitter rasmi mereka baru-baru ini.

https://twitter.com/SamsungExynos/status/1060879822300348417

Menurut sumber, sistem cip ini akan dilengkapi dengan NPU dwi-teras serta CPU lapan teras yang merangkumi 2 teras Mongoose M4, 2 teras ARM Cortex-A76 dan 4 teras ARM Cortex-A55 .

Ia juga didakwa akan muncul dengan pemproses 7-nanometer disamping sokongan untuk sambungan 5G. Sistem cip ini juga dikatakan mampu memberikan 50% penjimatan tenaga selain 20% prestasi yang lebih baik.

Dengan laporan ini, hampir pasti bahawa model Samsung Galaxy S10 akan menjadi yang pertama untuk menggunakan cip Exynos 9820 ini(jika bukan peranti boleh lipat Samsung). Sebelum ini, Galaxy S9 muncul yang pertama menggunakan sistem cip Exynos 9810.

 

Sumber: Samsung Exynos    SamMobile