Sampai Bila Skrin Telefon Pintar Nak Bertakuk? Pengguna Dah Muak La...

Kemon la... 


Sejak Apple memperkenalkan iPhone X dengan rekaan skrin bertakuk pada September 2017, ramai yang memperkatakan tentang rekaan skrin peranti tersebut.

Ada yang berpendapat ia satu rekaan yang menarik dan ada juga yang mengatakan ia sebagai satu rekaan yang hodoh.

Tetapi yang pastinya, tidak lama selepas iPhone X berada dipasaran, sebahagian besar pengeluar telefon pintar Android telah turut sama menghasilkan telefon pintar mereka dengan rekaan skrin bertakuk yang menyerupai rekaan skrin iPhone X.

iPhone bukan yang pertama


Walaubagaimanapun, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sebenarnya bukan Apple yang mula perkenalkan rekaan skrin bertakuk. Sebaliknya Sharp adalah syarikat pertama yang memperkenalkan rekaan skrin telefon pintar bertakuk menerusi peranti Sharp Aquos S2.

Telefon pintar tersebut mula berada dipasaran lebih awal iaitu pada 14 Ogos 2017, lebih kurang sebulan sebelum iPhone X dilancarkan.

Kapsyen: Sharp Aquos S2. Kredit imej: SHARP


Manakala Essential Phone yang memiliki rekaan skrin yang hampir sama dengan Sharp Aquos S2 pula berada dipasaran hanya beberapa hari sahaja selepas Sharp Aquos S2 dilacarkan.

Ini bermakna, iPhone X adalah telefon pintar ke 3 dengan rekaan skrin bertakuk yang berada dipasaran iaitu pada November 2017.

Kapsyen: Essential Phones. Kredit imej: Essential

Tidak menjadi ikutan


Walaupun 2 telefon pintar Android ini mendahului Apple iPhone X, rekaan skrin bertakuk mereka tidak menjadi ‘trendsetter’ kepada rekaan skrin telefon pintar bertakuk.

Sebaliknya, para pengeluar telefon pintar yang lain lebih berminat meniru rekaan skrin bertakuk yang terdapat pada iPhone X.

Apabila masuknya tahun 2018, para pengeluar telefon pintar Android seperti Asus, Leagoo, Oppo, Doogee, Nokia, LG dan Xiaomi adalah antara pengeluar telefon pintar yang berlumba-lumba menghasilkan telefon pintar dengan skrin bertakuk.

Walaubagaimanapun, rekaan skrin tersebut tidak digunakan pada kesemua model peranti yang dihasilkan mereka.

Kapsyen: Contoh 2 model telefon pintar 2018 berspesifikasi sederhana dan tinggi dari HUAWEI yang dilengkapi dengan rekaan skrin bertakuk yang amat menyerupai iPhone X. Kredit imej: HUAWEI


Jika anda perasan, kebanyakkan syarikat-syarikat yang meniru rekaan skrin bertakuk iPhone X adalah pengeluar-pengeluar telefon pintar yang berasal dari negara China.

Malah boleh dikatakan hampir kesemua pengeluar telefon pintar Android dari China menggunakan rekaan skrin bertakuk pada sebahagian barisan model utama telefon pintar keluaran mereka.

Jadi, sampai bilakah trend ini akan bertahan?


Memang tidak dinafikan rekaan skrin bertakuk memberikan lebih ruang paparan telefon pintar. Tetapi trend ini semakin lama makin menjengkelkan dan merepek.

Kegilaan meniru rekaan dari pengeluar telefon pintar lain secara tidak beretika semakin tidak dipedulikan. Lebih memualkan adalah apabila rekaan dan teknologi yang ditiru itu dikatakan lebih baik dari yang asalnya.

Padahal mereka hanya meniru dan mengikut trend semasa sahaja dan mengaut keuntungan mudah dengan menumpang daripada kegilaan penggemar gadjet terhadap sesuatu trend.

Kesimpulan


Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, pembangunan dan penyelidikan terhadap teknologi terbaru telah ditolak ketepi. Hanya keuntungan yang menjadi fokus utama mereka dengan menumpang dari kejayaan rekaan oleh syarikat pengeluar telefon yang lain.

Kemon la Apple, Huawei, Samsung, Oppo dan para pengeluar telefon pintar lain, anda seharusnya hadir dengan rekaan peranti terbaru yang lebih moden dan menarik pada 2020 nanti. Barulah pengguna menjadi lebih bernafsu untuk membeli peranti pintar anda.

Tahun 2020 yang sepatutnya kereta dah boleh terbang, sepatutnya juga menjadi penamat kepada trend rekaan skrin bertakuk.

Pengguna dan peminat gadjet khususnya, sudah muak dengan rekaan sama yang dihidangkan anda setiap tahun.

Sekian.