Salah Faham Antara 5G Dan 5GHz, Ini Perbezaan Antara Keduanya

Anda mungkin pernah mendengar rakan menyebut yang mana rumah mereka mempunyai WiFi 5G. Menambahkan lagi kekeliruan apabila berada di pejabat atau dimana-mana lokasi, senarai WiFi menunjukkan "xxxxx 5G".

Apabila meneliti tentang 5G di Malaysia, rangkaian ini baru sahaja menjalani ujian di beberapa lokasi dalam Malaysia. Bagaimana rumah rakan anda sudah ada 5G? Adakah pihak SKMM menjalankan ujian 5G di rumah rakan anda?

Persoalan-persoalan ini pasti timbul di benak fikiran. Untuk merungkai salah faham mengenai "5G" WiFi dan rangkaian "5G" yang belum lagi dikomersialkan di Malaysia, mari ikuti penjelasan ini.

WiFi 5G sebenarnya 5GHz


Apa-apa berkenaan WiFi 5G adalah merujuk kepada 5GHz atau lima Gigahertz. Ia merupakan salah satu jalur frekuensi yang terdiri daripada gelombang radio, berfungsi menghantar data daripada penghala (router) kepada peranti mudah alih.

5g

Satu lagi frekuensi adalah 2.4GHz, digunakan pada kebanyakkan perkakasan seperti alat kawalan, Bluetooth dan sebagainya. Penjelasan lanjut antara 2.4GHz dan 5GHz boleh baca pada artikel berikut - WiFi Rumah Anda Ada Sambungan 2.4GHz Dan 5GHz? Ini Perbezaannya.

Berkenaan 5GHz, ia sudah ada sejak 1999 lagi tetapi mula popular ketika penghala dengan piawaian 802.11n (WiFi 4) diperkenalkan sekitar 10 tahun lalu. Frekuensi ini menawarkan sambungan Wi-Fi lebih pantas berbanding 2.4GHz yang sedia sesak digunakan beberapa perkakasan lain. Paling penting, ia berlainan dengan rangkaian generasi kelima, 5G, yang hangat diperkatakan ketika ini.

Jadi kenapa ada senarai WiFi menunjukkan 5G?


Ya segelintir daripada kita mungkin keliru apabila melihat senarai WiFi. Ada nama WiFi yang menunjukkan 5G seperti gambar dibawah. Seperti yang dijelaskan diatas, ia merujuk kepada 5GHz.

5g

Ini disebabkan penghala dwi jalur (dual band router) boleh ditetapkan dengan dua frekuensi pada satu-satu masa. Jadi ketika menetapkan nama WiFi berkenaan, sesetengah daripada kita hanya meletakkan nama dengan hujung "5G" dan "2.4G".

Bagaimana pula dengan 5G?


5G pula merujuk kepada rangkaian selular generasi terbaru. Huruf "G" pada 5G merujuk kepada "Generation". Ia merupakan penyelesaian kepada rangkaian 4G yang tersedia digunakan pada hari ini. Rangkaian 5G menawarkan data berkelajuan tinggi, latensi rendah, mampu menyokong jumlah sambungan peranti yang lebih banyak dan lain-lain.

5g

Melalui penawaran yang ada ini, ia bukan hanya sekadar digunakan untuk sambungan telefon pintar sahaja malah pada lapangan yang lebih luas. Contohnya seperti, kereta panduan sendiri, peranti IoT, pembedahan jarak jauh dan sebagainya.

Itulah serba sedikit mengenai WiFi 5GHz yang kerap kali disalah ertikan dengan 5G. Rangkaian generasi kelima ini masih belum ditawarkan kepada umum di Malaysia. Menyusuri laporan-laporan sebelum ini, Malaysia dijangka akan mengkomersialkan 5G pada suku ketiga tahun ini.