Jenayah Penyalahgunaan Identiti Boleh Didenda Sehingga RM50,000

Ia termaktub di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Susulan daripada insiden yang membabitkan penyalahgunaan nama Perdana Menteri oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dibuat menerusi hantaran e-mel dan sebaran laman sesawang, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap insiden itu.

Pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan nama Perdana Menteri dengan tujuan mendapatkan sokongan peribadi beliau bagi  mempromosikan perniagaan Bitcoin.

Oleh itu, pihak SKMM mengingatkan kepada para pengguna bahawa kewujudan dan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang palsu adalah satu bentuk jenayah siber.

Ia adalah kesalahan yang terletak di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000.00 atau penjara satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.

SKMM juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Sekiranya anda ada berdepan dengan sebarang penipuan siber, SKMM meminta orang ramai supaya tampil membuat aduan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat tindakan susulan dengan segera.

Berkaitan