Russia Minta Apple Bawa Keluar Aplikasi Telegram Daripada App Store

Negara tuan rumah Piala Dunia FIFA 2018, Russia hari ini telah menghantar perutusan rasmi kepada syarikat Apple Inc. untuk membawa keluar aplikasi berhubungan maya terkenal, Telegram daripada App Store. Perkara ini telah dilaporkan pada laman sesawang Wccftech.

Kerajaan Russia sebelum ini telah menyekat akses kepada Telegram selepas mendakwa mereka tidak memberi kerjasama dalam hal-hal berikutan keselamatan dengan pihak kerajaan. Ia telah menyebabkan Russia menganggap Telegram sebagai memberi ruang untuk idealogi pengganas tersebar melalui aplikasi tersebut.



Walaubagaimanapun, aplikasi tersebut masih lagi berada di dalam kedai aplikasi Apple, App Store bagi pasaran Russia. Kerajaan tempatan berasa bimbang jika aplikasi ini masih lagi boleh didapati melalui App Store, ia akan memberi ruang kepada pengganas atau penjenayah untuk menggunakannya melalui penggunaan servis VPN.

Kerajaan Russia memberi masa selama satu bulan untuk pihak Apple mengeluarkan aplikasi tersebut sebelum apa-apa tindakan lanjut akan diambil terhadap mereka. Wakil mereka, Alexander Zharov memberitahu bahawa mereka juga sedang berunding dengan Google bagi sekatan aplikasi Telegram untuk pasaran Android dan rundingan tersebut dikatakan berjalan lancar.

Zharov turut menegaskan bahawa tindakan tersebut perlu diambil kerana sistem privasi Telegram yang kukuh tidak memungkin mereka untuk mengesan sekiranya pengganas membuat apa-apa perancangan melalui aplikasi tersebut.

Sumber