Rusia Bakal Sekat Jualan Peranti Yang Tidak Dipasang Dengan Perisian Mereka

Hanya peranti yang sedia dipasang dengan aplikasi buatan Rusia sahaja akan dibenarkan dijual di dalam negara itu.


Parlimen Rusia dilaporkan sudah meluluskan undang-undang mandatori iaitu mana-mana model peranti pintar yang hendak dijual dalam negara itu mestilah turut sedia dipasang dengan aplikasi yang dibangunkan oleh negara tersebut.

Penguatkuasaan undang-undang itu akan bermula dari bulan Julai 2020 nanti. Menurut laporan oleh BBC, ia tidak hanya terhad pada telefon pintar sahaja tetapi juga turut meliputi komputer dan televisyen pintar.

Tambahan lagi, ia turut dikatakan bertujuan untuk mempromosi teknologi Rusia, selain memudahkan pengguna dalam negara itu lebih mudah menggunakan gajet yang dibeli mereka.

Walaubagaimanapun, tindakan Rusia itu telah menyebabkan timbulnya kebimbangan dalam kalangan pengeluar terhadap isu aktiviti pengintipan terhadap pengguna mereka.

Malah pihak RATEK (The Association of Trading Companies and Manufacturers of Electrical Household and Computer Equipment) dari Rusia sendiri menyatakan tidak setuju dengan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Hal ini kerana ia adalah mustahil untuk sebahagian peranti dari pengeluar asing bersedia memasang peranti mereka dengan aplikasi dari Rusia. Tindakan itu hanya akan menyebabkan pengeluar peranti lari dari pasaran negara terbabit.

Pihak Rusia kini giat mengetatkan lagi kawalan ke atas akses internet di dalam negara mereka. Para pengkritik melihat Rusia kini cuba mengawal akses internet rakyat mereka sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan China.