Setelah berbulan menjadi bualan, penantian kini berakhir apabila ASUS secara rasmi hari ini telah melancarkan telefon gaming terbaru iaitu siri ROG Phone 5.
Terdapat tiga varian yang diperkenalkan dalam siri ini iaitu ROG Phone 5, ROG Phone 5 Pro dan ROG Phone 5 Ultimate. Apa yang membezakan ketiga-tiga varian ini adalah dari segi memori, storan serta pilihan warna yang ditawarkan.
Seperti generasi sebelumnya, sudah tentu ROG Phone 5 juga hadir dengan spesifikasi terbaik bagi meletakkannya sebagai sebuah telefon gaming. Peranti ini dimuatkan dengan cip Snapdragon 888 berasaskan proses 5nm yang mempunyai sokongan rangkaian 5G dan Snapdragon Elite Gaming.
Melalui Snapdragon Elite Gaming, ia hadir dengan sokongan Qualcomm Game Quick Touch yang meningkatkan input sentuhan sebanyak 20% serta latensi lebih rendah. Ia juga membawakan 35% peningkatan prestasi GPU dan 25% peningkatan prestasi CPU.
Untuk paparan, ROG Phone 5 dilengkapi skrin berukuran 6.78 inci AMOLED dengan resolusi Full HD+. Ia turut menyokong kadar segar semula 144Hz. Sementara itu, input sentuhan ditingkatkan sehingga 300Hz dengan latensi serendah 24.3ms.
Panel yang dimuatkan pada ROG Phone 5 turut mempunyai perlindungan Corning Gorilla Glass Victus, sokongan HDR10+, DCI-P3, Always-on HDR serta kecerahan maksimum sehingga 1,200nits.
Seperti ROG Phone 3, peranti ini masih dikekalkan dengan bateri berkapasiti 6000mAh yang didatangkan bersama pengecas 65W HyperCharge dengan pengisian melalui port USB-C.
Untuk fungsi gaming khusus, terdapat ciri AirTrigger 5 dengan sensor sentuh ultrasonik. Selain itu, terdapat mod prestasi X Mode dan X Mode+ bagi membolehkan pengguna mengubah tetapan prestasi semasa bermain.
Bagi mengekalkan prestasi secara maksimum, ia juga dilengkapi dengan sistem penyejukan GameCool 5. Terdapat juga kebuk asap 3D yang dikemaskini serta lapisan grafit untuk memudahkan pengaliran haba dan mengurangkan kepanasan peranti.
Dari segi audio, ia dimuatkan dengan pembesar suara stereo yang dihalakan ke hadapan bersama sokongan Dirac HD Sound. Untuk menjadikannya lebih kuat, ia juga mempunyai sokongan 7-magnet pembesar suara stereo dengan Cirrus Logic.
Beralih pada bahagian kamera, terdapat tetapan tiga lensa yang terdiri daripada 64MP utama dengan sensor Sony IMX686, 13MP sudut lebar dan 5MP makro. Kamera hadapan pula hadir dengan sensor 24MP.
Untuk sambungan, ASUS ROG Phone 5 mempunyai sokongan WiFi 6E, Bluetooth 5.2, NFC dan sebagainya. Apa yang menarik, bicu audio 3.5mm masih dikekalkan pada ROG Phone 5. Terdapat dua port USB-C yang diletakkan pada bahagian sisi dan bawah peranti. Ia menjalankan antaramuka ROG UI yang berasaskan Android 11.
ROG Phone 5
Bagi varian ROG Phone 5, tiada alat penyejuk AeroActive Cooler 5 yang disertakan dalam kotak pembelian. Peranti ini hadir dengan dua pilihan memori iaitu 8GB+128GB dan 16GB+256GB yang berasaskan LPDDR5 dan UFS 3.1. Terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan untuk ROG Phone 5 iaitu Phantom Black dan Storm White.
Harga untuk ROG Phone 5 adalah seperti berikut:
- 8GB + 128GB – RM2,999
- 16GB + 256GB – RM3,799
Bagi pra tempahan yang dibuat dari 11 hingga 25 Mac 2021, anda akan menerima Kunai 3 GamePad yang bernilai RM499 secara percuma. ROG Phone 5 akan tersedia untuk pasaran Malaysia bermula April 2021.
ROG Phone 5 Pro
Untuk varian ROG Phone 5 Pro, kotak pembelian disertakan dengan alat penyejuk AeroActive Cooler 5. Peranti ini ditawarkan dengan 16GB RAM dan 512GB storan dalaman. Warna yang tersedia untuk ROG Phone 5 Pro adalah Phantom Black.
Harga yang ditawarkan untuk ROG Phone 5 Pro adalah RM4,499 dan akan tersedia untuk pasaran Malaysia pada Mei 2021.
ROG Phone 5 Ultimate
ROG Phone 5 Ultimate hadir dengan warna Storm White bersama kotak pembelian yang dimuatkan alat penyejuk AeroActive Cooler 5 serta ROG Ultimate Fan Gift Box.
Dengan memori 18GB RAM dan 512GB storan dalaman yang berasaskan LPDDR5 dan UFS 3.1, ia ditawarkan pada harga RM4,999. ROG Phone 5 Ultimate akan dijual di Malaysia bermula Mei 2021.