Rockstar Jelaskan Kenapa GTA 6 Masih Belum Diperkenalkan

Sesiapa sahaja yang pernah bermain permainan video baik di konsol atau PC, pasti pernah mendengar mengenai permainan video Grand Theft Auto bukan? Setiap kali pelancarannya, ia pasti meraih populariti yang setinggi langit sejak dulu lagi.

Namun, perkara yang sering dikesali oleh peminatnya ialah pembangunnya, Rockstar sering kali mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan sebuah edisi baru bagi permainan tersebut. Ia sekali lagi terjadi pada GTA 6.



Siri ke-enam permainan itu masih lagi belum dilancarkan walaupun GTA V(5) sudah lima tahun berada di pasaran. Walaupun memahami keluhan peminat itu, Rockstar mempunyai alasan tersendiri untuk terus dengan polisi mereka.

Menurut CEO Take-Two(syarikat induk Rockstar), Strauss Zelnick, mereka lebih mementingkan kualiti permainan yang dihasilkan berbanding keuntungan yang diperolehi. Menurutnya, tiada guna GTA diperkenalkan setiap satu atau dua tahun jika jumlah jualannya berkurangan.

Perkara ini turut terjadi pada sebuah lagi permainan popular Rockstar iaitu Red Dead Redemption 2(RDD 2). Ia akan hanya dilancarkan pada 26 Oktober ini,  lapan tahun selepas edisi pertama diperkenalkan pada 2010 yang lepas.



Rockstar juga mengatakan mereka perlu memberikan tempoh mencukupi bagi pemain dua siri permainan ini untuk menikmati sepenuhnya permainan berkenaan. Ini kerana GTA 5 dan RDD 2 mempunyai peta permainan yang sangat luas untuk diterokai.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan GTA 6 hanya akan dilancarkan di antara tahun 2020 hingga 2022 kelak. Menurut Zelnick, ia bagi membenarkan lebih ramai pemain dapat menghabiskan RDD 2 terlebih dahulu.

Akan tetapi, kami berpendapat ia adalah sebahagian daripada strategi pemasaran mereka. Ini memandangkan generasi baru untuk dua konsol terkemuka, Xbox dan PlayStation turut dijangka akan diperkenalkan pada menjelang tahun 2020.

 

Sumber