Minggu ini secara bertalu-talu pengeluar dari China telah mengumumkan pengecasan pantas yang kini telah mencapai 3 digit. Terdapat 3 pengeluar yang mengumumkan teknologi pengecasan terbaharu mereka iaitu iQOO/vivo, OPPO, dan juga realme.
iQOO / vivo (120W)
Pengenalan pengecasan pantas dimulakan dengan sub-jenama dari vivo iaitu iQOO. Teknologi pengecasan pantasnya dinamakan Super FlashCharge dan adalah selaju 120W.
Untuk itu, ia mampu memenuhkan bateri 4,000mAh dalam masa 15 minit. Teknologi ini pernah diperlihatkan ketika Mobile World Congress Shanghai 2019. Namun ketika itu, ia hanya sebagai demo sahaja dan tidak digunakan untuk peranti yang sebenar.
Dengan kelajuan berkuasa ini, iQOO/vivo lebih menyarankan lapisan tambahan grafit atau pengejukan yang lebih efektif. Ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan suhu keseluruhan papan induk dan perkakas dalaman.
Untuk kegunaan rasmi dalam peranti, iQOO / vivo menyasarkan penawaran teknologi ini seawal Ogos. Namun belum dapat dipastikan model apa yang akan menggunakannya.
OPPO (125W)
OPPO muncul sebagai pengeluar kedua yang mengumumkan teknologi pengecasan pantas terbaharu iaitu Flash Charge. Ia sedikit laju berbanding Super FlashCharge vivo/iQOO sebanyak 125W.
Sebagai demo, ia mampu memenuhkan bateri 4,000mAh dalam masa 20 minit. OPPO juga mengimplementasikan cara yang lebih berkesan iaitu menggunakan 3 pengecasan secara selari dan tambahan 10 sensor suhu untuk sistem pengecasan yang lebih efektif.
Untuk protokol pengecasan yang disokong, terdapat 5 jenis iaitu:
- 65W SuperVOOC
- 30W VOOC
- 125W Programmable Power Supply (PPS)
- 65W USB-Power Delivery (PD)
- 36W Quick Charge (QC)
Antara penekanan OPPO terhadap teknologi mereka adalah kapasiti bateri akan bertahan pada 80% walaupun selepas dicas sebanyak 800 kali.
Teknologi pengecasan terbaharu ini tidaklah pula diberitahu bila ia akan dimuatkan dalam peranti pintar. Namun, kemungkinan besar ia akan hadir pada produk mereka sebelum hujung tahun ini juga.
realme (125W)
Tidak mengejutkan kerana merupakan bekas sub-jenama dari OPPO, realme juga turut memperkenalkan pengecasan pantas mereka diberi nama UltraDart.
Ia adalah selaju 125W yang mana seperti diketahui mungkin teknologi yang sama seperti 125W OPPO. Jenama ini pun sama juga tidak mendedahkan bilakah ia akan dimuatkan pada peranti pintar mereka.
Antara pengeluar lain yang sedang masih lagi belum mengumumkan teknologi pengecasan pantas mereka adalah Xiaomi. Sebelum ini mereka pernah memperlihatkan demo mengecas peranti 120W. Mungkin mereka juga akan mengumumkannya secara rasmi sebelum hujung tahun ini juga.
Rumusan
Mungkin ada antara kita sebagai pengguna yang risaukan masalah suhu peranti pintar apabila dicas dengan kuasa yang agak tinggi. Melihat kepada isu ini, kita boleh lihat pengeluar-pengeluar ini memuatkan penyelesaian yang lebih efektif seperti tambahan lapisan grafit, sensor suhu, daan sebagainya.
Selain itu juga, kapasiti bateri yang lebih pantas berkurang dari tahun ke tahun juga menjadi sesuatu yang perlu diambil kira. Namun disebabkan rata-rata pengeluar Android hadir dengan kapasiti bateri yang agak besar. Mungkin ia akan mengambil masa yang agak lama sebelum pengguna mula menyedari bahawa jangka hayat peranti mereka tidak bertahan lama berbanding semasa awal pembeliannya.
Buat masa ini, selagi teknologi ini belum hadir secara rasmi untuk peranti pintar, apa yang boleh dilakukan sebagai pengguna adalah tunggu dan lihat dahulu – sama ada akan muncul isu apabila menggunakannya dalam kehidupan seharian.