Ribuan Pengguna Disney+ Mendakwa Akaun Mereka Digodam

Selepas pelancaran rasmi Disney+ pada 12 November lalu di Amerika Syarikat, Kanada, dan Belanda, sebanyak 10 juta orang telah mendaftar untuk melanggan servis penstriman tersebut. Namun, beberapa jam selepas dilancarkan, beberapa pengguna melaporkan mereka tidak boleh log masuk ke akaun masing-masing kerana terdapat pengguna lain yang menggunakannya.

Mengikut Zdnet, terdapat ribuan akaun Disney+ yang dijual pada laman dark web semurah $3USD iaitu lebih murah berbanding langganan sah pada $6.99USD sebulan. Pengguna yang tidak boleh masuk ke akaun Disney+ mereka turut melaporkan alamat emel dan kata laluan telah diubah.

https://twitter.com/brandoncult/status/1194312851306864640

Penyelidik keselamatan siber, Jason Hill memberitahu BBC bahawa ramai pengguna menggunakan kata laluan yang sama untuk pelbagai laman web dan akaun telah menjadi faktor terbesar dalam masalah godaman ini.

Walau bagaimanapun, Disney sendiri percaya bahawa sistem mereka kekal selamat dan tidak dipecah masuk. Jurucakap Disney+ mengatakan Disney mengambil berat isu privasi dan keselamatan data pengguna dan tidak terdapat tanda-tanda bahawa Disney+ telah dikompromi.

Kenyatan itu menunjukkan maklumat pengguna Disney+ dicuri melalui cara yang lain berkemungkinan melibatkan spyware ataupun penggunaan maklumat log masuk yang dicuri dari tempat lain.

Mengenai dark web pula, pihak BBC dengan bantuan pakar keselamatan siber telah menjumpai beberapa akaun pengguna Disney+ yang telah digodam di sana. Ribuan akaun tersebut memaparkan jenis langganan pengguna dan tarikh tamat tempoh langganan mereka.

Customer accounts stolen on the dark web Kapsyen: Lebih dari 4,000 akaun pengguna yang terdapat pada carian dalam laman dark web. Imej: BBC


Perkhidmatan penstriman itu buat masa ini masih lagi belum mempunyai pengesahan 2FA di mana pengguna perlu memasukkan kata laluan kedua sebelum log masuk ke akaun.

Ramai pengguna mula risau kerana kesemua akaun Disney+ dipautkan dengan produk dan servis Disney lain seperti Disney store dan juga taman tema rekreasi seperti Disneyland.

Pada hari pertama pelancaran Disney+, ia mengalami isu teknikal yang tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Buat masa ini pihak Disney+ sendiri masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menangani masalah godaman besar-besaran ini.

Sumber: BBC, New York Daily News, Zdnet

Berkaitan