Rekaan Tertiris Oppo R17 Didedahkan, Hadir Dengan Takuk Kecil & Warna Gradient

Rekaan peranti Oppo F9 telah diketahui melalui satu imej acah yang dikeluarkan awal minggu ini oleh pihak Oppo menjelang majlis pelancarannya yang akan diadakan tidak lama lagi. Dan menurut laporan terkini yang kami terima, satu imej sebuah lagi peranti Oppo, R17 pula tertiris di internet.


Kredit : GizmoChina


Melihat kepada reka bentuk yang dipaparkan, panel hadapan peranti dengan takuk kecil kelihatan hampir sama dengan rekaan yang ada pada imej acah Oppo F9 yang didedahkan. Namun, kamera utama peranti ini dikatakan akan dipasang secara menegak berbanding melintang pada model F9.


Imej Oppo F9 (Kredit : Oppo Malaysia)


Oppo R17 ini juga dijangka akan didatangkan dengan cip pemprosesan Snapdragon 670. Ia agak mengejutkan kerana sistem cip tersebut sebelum ini pernah dilaporkan telah dijenamakan semula sebagai Snapdragon 710.

Selain itu, peranti ini juga akan menjadi yang pertama hadir dengan bukaan aperture sehingga f/1.4. Dalam pada itu, Oppo R17 turut akan hadir dengan warna gradient yang memberikan beberapa tona warna berbeza pada panel belakang peranti.



Seperti yang dapat dilihat dalam imej di atas, panel belakang peranti berkenaan telah menonjolkan tiga warna berbeza iaitu hitam, biru dan ungu. Tambahan pula, ia juga akan mempunyai sistem pengimbas cap jari pada dalam skrin.

Setakat ini belum dapat dipastikan harga jualan dan tarikh pelancaran bagi peranti ini. Anda boleh ikuti laman sesawang dan Facebook rasmi Oppo Malaysia untuk perkembangan lebih lanjut.

Sumber