Rekaan Samsung Galaxy S11 Dan S11e Mula Diperlihatkan

Menghampiri ke tahun 2020, kita mula dihidangkan dengan imej awal dan khabar angin berkenaan dengan generasi peranti pintar seterusnya. Untuk siri Samsung S11, ia akan dilancarkan antara yang paling awal untuk tahun hadapan. Jadi, imej awal siri peranti S11 tersebut telah mula kelihatan di internet.

Untuk S11, akan terdapat 3 model utama iaitu, Galaxy S11, Galaxy S11 Plus, juga Galaxy S11e. Galaxy S11 dan Galaxy s11 Plus akan mempunyai spesifikasi hampir sama dengan perbezaan besar pada bateri serta saiz skrin mereka. Manakala untuk Galaxy S11e, ia akan diposisikan sebagai peranti flagship yang lebih murah berbanding Galaxy S11 dan S11 Plus.

Baru sahaja lagi @Onleaks telah memuatnaik imej peranti yang diperkatakan untuk Galaxy S11 dan S11e. Untuk S11, ia akan menggunakan rekaan kamera punch-hole di bahagian tengah yang sama seperti Galaxy Note 10. Skrin Samsung S11 di hadapan pula mungkin menyokong kadar segar semula 120hz seperti yang dikhabarkan sebelum ini. Dikatakan pula skrin S11 akan bersaiz 6.7 inci.

Di belakang, ia merupakan kemaskini terbesar setakat ini. Samsung S11 bakal menggunapakai 5 lensa yang disusun dalam satu modul seumpama Google Pixel 4XL. Menurut khabar angin, kamera utamanya bakal menggunakan sensor 108MP serta sokongan video sehingga 8K.



 

Untuk Galaxy S11e pula, terdapat satu kelainan utama berbanding S10e sebelum ini dimana ia bakal menggunakan skrin rekaan melengkung bukannya rata. Rekaan keseluruhan peranti adalah lebih kurang dengan S11 yang turut mempunyai rekaan bezel yang nipis. Ia juga turut mempunyai rekaan kamera punch-hole di bahagian tengah.

Sebagai alternatif yang lebih murah, S11e akan mempunyai skrin hadapan lebih kecil pada saiz sekitar 6.2 - 6.3 inci. Untuk S11e, masih belum diketahui lagi bahawa ia akan menyokong panel dengan kadar segar semula 120hz atau tidak.

Melihat pada bahagian belakang, ia menggunakan rekaan modul kamera yang sama. Namun, ia hanya menggunakan 3 lensa sahaja berbanding 5 lensa pada S11.



Jika anda mencari perkara yang janggal terhadap imej awal S11 dan S11e ini, anda mungkin perasan bahawa tiada bicu 3.5mm pada kedua-dua imej. Sebelum ini, Note 10 merupakan peranti pertama Samsung dengan ketiadaan bicu tersebut, dengan Galaxy Fold mengikut jejak yang sama. S11 pula akan menjadi peranti pertama untuk siri Galaxy S dengan ketiadaan bicu yang sama.

Sumber: Galaxy S11, Galaxy S11e

 

Berkaitan