Rekaan Dikatakan Pixel 5 Dikongsikan, Persis Pixel 4a Namun Ditambah Satu Lensa Belakang

Pixel 4a merupakan telefon pintar Google pertama untuk tahun ini. Namun ada 2 lagi model yang bakal diperkenalkan iaitu Pixel 4a 5G dan juga Pixel 5.

Jika Pixel 4a 5G bertindak selaku abang besar kepada Pixel 4a, Pixel 5 pula adalah model premium yang mempunyai spesifikasi tertinggi.

Hari ini gambar yang dikatakan Pixel 5 telah dimuat naik di internet memaparkan rupa bentuknya.



Melihat kepada rekaannya secara kasar, ia tiada bezanya dengan Pixel 4a yang baru dilancarkan awal Ogos ini.

Dari kamera hadapan dengan punch-hole sehinggalah modul kamera petak dengan pengimbas cap jari.

Namun, jika ada perbezaan utama dari segi rekaan, ia adalah penambahan satu lagi lensa kamera.

Ia bakal menggunakan lensa sudut lebar dan bukan lagi lensa zum telefoto seperti pada Pixel 4.

Selain itu, rekaannya juga memperlihatkan kemasan dan bahan binaan plastik. Jika anda imbas kembali maklumat sebelum ini, sememangnya sudah dilaporkan bahawa ia akan menggunakan plastik namun akan diperkemas seumpama kemasan yang premium.

Pixel 5 ini akan dilancarkan bersama-sama Pixel 4a 5G pada penghujung bulan ini. Dari segi spesifikasi, ia akan membawakan cip Snapdragon 765G, RAM 8GB dan bateri 4,000mAh.

Untuk harga jualan Pixel 5, ia dijangkakan pada 699 USD (~RM2,918).

Sumber: Jose Antonio