Redmi Note 8 Pro Dengan Snapdragon 730, Ada Atau Tidak? Ini Jawapannya

Kedatangan Redmi Note 8 Pro memang dinantikan semua peminat siri popular Xiaomi tersebut, namun ketika pengenalan dibuat, segelintir daripada kita sedikit kecewa kerana ia dilengkapi dengan cip Helio G90T.

Tanggapan cip keluaran MediaTek kurang berdaya saing dengan keluaran Qualcomm sudah dibahaskan sejak sekian lama dan ini secara tidak langsung menjadikan Redmi Note 8 Pro tidak mengghairahkan peminat.

Beberapa ketika muncul pula khabar angin Xiaomi bakal menghasilkan Redmi Note 8 Pro dikuasakan dengan cip Snapdragon 730G. Hal ini sudah tentu membangkitkan keterujaan peminat dan mereka mengambil keputusan untuk menunggu kehadirannya yang tidak pasti bila ia akan dibuat.

Tetapi berdasarkan kicauan Twitter, Pegawai Pemasaran Xiaomi India, Anuj Sharma, beliau menidakkan perkara tersebut dan sekaligus menamatkan khabar angin itu.



Dijawab ringkas dengan"Nope", ia sudah cukup menggambarkan tiada penawaran Redmi Note 8 Pro dengan cip pemproses Snapdragon 730G.

Redmi Note 8 Pro sedia diperkenalkan di Malaysia sejak awal Oktober yang lalu dan ia membawakan spesifikasi seperti skrin LCD 6.53 inci, MediaTek Helio G90T, RAM 6GB dengan storan 64GB/128GB, bateri 4500mAh, kuad kamera belakang (64MP(f/1.9)+8MP(f/2.2)+2MP(f/2.4)+2MP(f/2.4)) serta kamera hadapan 20MP. Model ini dijual pada harga RM1099 dan RM1199 mengikut variasi storan.