Redmi Note 7 Pro Dengan Lensa 48MP Sony IMX586 Bakal Dilancarkan Minggu Hadapan

Ketika Redmi Note 7 masih lagi belum membuat kemunculan di pasaran Malaysia, Redmi Note 7 Pro pula dijadual akan dilancarkan di China pada minggu hadapan.

Perkara ini telah disahkan oleh Presiden Redmi sendiri, Lu Weibing melalui satu kirimannya di laman Weibo baru-baru ini.

Akan tetapi, beliau masih belum mengesahkan sebarang tarikh rasmi bagi pelancaran tersebut. Di India, Redmi Note 7 Pro ini bakal diperkenalkan pada 28 Februari nanti.

Kapsyen: Times Now Hindi


Redmi Note 7 Pro dijangka tidak mempunyai sebarang masalah untuk menarik minat pembeli berdasarkan spesifikasi dan harga yang ditawarkan.

Antara yang didakwa bakal melengkapi peranti ini ialah sensor 48MP Sony IMX586 yang turut digunakan oleh model Mi 9.

Selain itu, peranti ini juga diramal akan hadir dengan sistem cip Snapdragon 675 berbanding Snapdragon 660 yang digunapakai oleh Redmi Note 7.

Bagaimanapun, segala dakwaan ini hanya akan diketahui kesahihannya apabila ia dilancarkan secara rasmi minggu hadapan.

 

Sumber: Gadgets360