Redmi Note 10 5G - Jangan Kerana Hanya 5G...

Redmi Note 10 5G dari Xiaomi telah pun ditawarkan untuk pasaran tempatan.  Ia adalah salah satu peranti yang berada dalam siri Redmi Note 10 iaitu Redmi Note 10S, Redmi Note 10 Pro dan Redmi Note 10.

Jadi apa istimewanya dengan versi Redmi Note 10 5G pula?

Kapsyen: Dari aspek reka bentuk, secara keseluruhan Redmi Note 10 5G sama sahaja dengan siri Redmi Note 10 yang lain. Ia ditawarkan dalam 4 pilihan warna menarik iaitu Aurora Green, Nighttime Blue, Chrome Silver dan Graphite Gray.


Melihat kepada spesifikasi telefon pintar ini, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Dimensity 700, pilihan RAM dan storan sehingga 6GB+128GB, paparan bersaiz 6.5" FHD+ (resolusi 2400 x 1080) dan bateri berkapasiti 5000mAh.

Dari aspek prestasi, Redmi Note 10 5G adalah sebuah peranti yang cukup memuaskan. Penggunaan bateri juga amat menjimatkan, terima kasih kepada cip MediaTek Dimensity 700 nya yang jimat tenaga.

Jadi, bateri telefon pintar ni memang mampu bertahan seharian.

Memainkan permainan-permainan seperti PUBG Mobile, Genshin Impact, Asphalt 9 dan lain-lain memang tiada masalah.

Tetapi untuk memainkan permainan-permainan itu pada tetapan tertinggi pula adalah tidak releven memandangkan kategori peranti ini adalah peranti pertengahan. Jadi prestasinya adalah sederhana sahaja.

Kapsyen: Walaupun skrinnya menyokong sehingga 90Hz, tapi ia mungkin sedikit tidak memuaskan hati anda.


Untuk bahagian kamera pula, ia dilengkapi dengan 3 kamera utama iaitu 48MP+2MP+2MP. Sedikit yang tak best dengan kamera utamanya adalah ia tidak boleh mengambil gambar ultra lebar.

Malah untuk rakaman video pula, ia hanya mampu merakam video tertinggi 1080p 30fps sahaja.

Jadi, untuk mereka yang gemar merakam gambar dan video dan mahukan kualiti yang lebih baik, ini bukan lah model telefon pintar untuk anda.

Kapsyen: Jika anda perasan, rekaan kamera belakang Redmi Note 10 5G adalah sedikit berbeza berbanding siri Redmi Note 10 yang lain.


Berkenaan dengan keupayaan Redmi Note 10 5G yang menyokong rangkaian 5G pula, ia mungkin tidak bermakna apa-apa kepada anda buat masa ini kerana rangkaian 5G di Malaysia pun belum meluas lagi.

Redmi Note 10 5G juga terdapat beberapa lagi kekurangan lain seperti paparan yang tidak menggunakan skrin AMOLED serta hanya dilengkapi dengan pengecasan pantas 18W sahaja.

Jadi, ini mungkin sedikit merencatkan pemilihan untuk anda memiliki telefon pintar ini.

Namun begitu, apa yang dapat disimpulkan terhadap Redmi Note 10 5G ini adalah, ia sebuah peranti pintar mampu milik.

Berharga dari RM799.00, ia pasti menjadi pilihan pengguna yang mahukan sebuah peranti prestasi sederhana dengan bateri yang tahan lama.

Tetapi mungkin ramai yang tertarik dengan telefon pintar ni sebab dia ada 5G. Jadi, janganlah mudah terpedaya. Jadilah pengguna bijak.

https://www.youtube.com/watch?v=JLG6yWU_Qc8