Redmi K30 Pro Hadir Diperkenalkan Bulan Hadapan

Siri Redmi K20 tahun lalu cukup menaikkan keterujaan peminat segmen pertengahan dan atasan disebabkan spesifikasi serta harga jualannya. Kini bagi mengharungi tahun 2020, Redmi K30 Pro pula dilihat akan membuat penampilan.

Pengesahan mengenai kedatangan peranti flagship baru ini dibuat oleh Redmi pada laman Weibo mereka. Tidak menyatakan tarikh secara spesifik tetapi ia akan berlaku pada bulan Mac ini. Melalui poster, skrin paparan hadapan tampil tanpa sebarang rekaan takuk mahupun berlubang membayangkan kepada penggunaan mekanisme terangkat.



Spesifikasi lain yang digembar-gemburkan akan hadir adalah cip Snapdragon 865, kadar penyegaran 120Hz, kamera utama 64MP, bateri 4700mAh bersama pengecasan pantas 33W serta sokongan 5G. Tidak dapat dipastikan sama ada versi 4G akan turut diperkenalkan atau tidak.

Terdahulu, Redmi sedia memperkenalkan Redmi K30 5G yang dimuatkan cip pemprosesan Snadpragon 765G serta Snapdragon 730G untuk versi 4G. Selain dilengkapi dengan cip pemprosesan lebih bertenaga, Redmi K30 Pro dijangka tampil dengan RAM LPDDR5 dan ini adalah berdasarkan ramalan daripada laporan tahun lalu.

Sumber: Weibo