Redmi 8 Dikatakan Sudah Tersenarai Pada Laman Sesawang Badan Piawaian China

Sebuah peranti Redmi dengan nombor kod M1908C3IC kini sudah berada dalam penyenaraian TEENA yang turut memperlihatkan spesifikasi serta reka bentuknya.

Bahagian panel hadapan tampil dengan skrin paparan 6.21 inci bersama resolusi 1520 x 720 piksel. Berdasarkan imej, tidak dapat dipastikan sama ada ia akan mempunyai rekaan takuk tetapi disebelah bawah kelihatan bezel yang disertakan dengan logo "Redmi".



Sisi kanan peranti terdapat butang kelantangan bunyi dituruti dengan butang kuasa. Bahagian belakang pula membariskan dwi lensa kamera dan dibawahnya pula adalah sensor pengimbas cap jari fizikal.



Perkhabaran menyatakan bahagian dalaman peranti akan dikuasakan oleh pemproses 8 teras 2.0GHz dengan konfigurasi memori antara RAM 2GB/16GB, 3GB/32GB dan 4GB/64GB. Bagi memori simpanan tambahan, model ini juga menyokong slot kad MikroSD dengan kapasiti sehingga 512GB.

Lain-lain spesifikasi yang dibawakan adalah sistem operasi berasaskan Android Pie 9 dan juga bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas. Spekulasi awal menyatakan ia mungkin diperkenalkan sebagai Redmi tetapi apa pun, kita perlu menunggu perkhabaran rasmi daripada pengeluar itu sendiri terlebih dahulu.

Sumber: TEENA via GSMArena