realme X50 Pro Akan Hadir Dengan Dwi-Kamera Swafoto 32MP Dan Penstabilan Video

Pada hari ini, realme mengumumkan secara rasmi mengenai beberapa spesifikasi realme X50 Pro. Syarikat itu berkongsi beberapa butiran mengenai modul kamera hadapan peranti tersebut melalui akaun rasmi Weibo dan laman web rasminya. 

realme X50 Pro

Melalui perkongsian tersebut, realme X50 Pro akan hadir dengan tetapan dwi-kamera swafoto dengan lensa utama 32MP. Sementara bagi kamera kedua pula, peranti ini didatangkan dengan lensa sudut ultra lebar.

Pengeluar peranti ini turut berkongsi butiran lain dalam kiriman di Weibo yang menyatakan lensa sudut ultra lebar mempunyai 105 darjah sudut pandang dan menyokong UIS Max Super Video Stabilization.

Seperti namanya, ia mungkin adalah penstabilan video yang akan membantu merakam video semasa bergerak. Sebagai bonus tambahan, dengan kamera hadapan yang mempunyai lensa sudut ultra lebar, ia mampu merakam pemandangan dengan lebih luas.

Terdahulu, peranti ini telah didedahkan mempunyai kamera belakang dengan tetapan kuad kamera 64MP, termasuk 20x zoom hibrid. Ia juga dikuasakan dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 865, 12GB LPDDR5 RAM dan storan berasaskan UFS 3.0.

Bagi pelancaran pula, realme X50 Pro akan dilancarkan pada 24 Februari ini secara dalam talian.

Sumber: Gizmochina