Realme X2 Pro Akan Dilengkapi Super VOOC 50W, Cas Penuh Dalam Masa 31 Minit

Seperti yang semua sudah sedia maklum, Realme telah menjadualkan 15 Oktober ini sebagai tarikh pelancaran rasmi model flagship pertama mereka Realme X2 Pro yang bakal membawakan spesifikasi terbaik bersamanya.

Menjelang hari pelancaran, pastinya lebih banyak informasi serta imej disebarkan dan antara terbaru adalah teknologi pengecasan pantas yang bakal mengiringi kehadiran peranti tersebut. Jika sebelum ini ia pernah dikhabarkan akan menggunapakai pengecasan pantas VOOC 4.0 30W, namun perkongsian Realme pada Weibo memperlihatkan Realme X2 Pro bakal diperlengkapkan dengan SuperVOOC 50W.



Berdasarkan video berdurasi 16 saat yang dikongsikan, peranti terbabit berupaya dicas penuh dari 0% sehingga 100% hanya dalam masa sekitar 30 minit 53 saat menerusi teknologi pengecasan pantas itu. Realme X2 Pro dipercayai akan dibekalkan dengan bateri berkapasiti 4000mAh.

Selain itu, rekaan sebenar yang didakwa sebagai Realme X2 Pro juga sudah mula berlegar diruang internet dimana ia memperlihatkan secara lebih dekat kuad kamera pada bahagian belakang serta paparan 90Hz dengan takuk kecil.



Realme sebelum ini sudah mengesahkan model flagship mereka ini akan dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 855 Plus,  paparan 90Hz, kuad kamera diketuai oleh lensa 64MP. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranti ini, kita nantikan hari pelancaran yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi.

Sumber: Weibo