Ulasan realme C12: Sekelumit Naik Taraf Tidak Penting Berbanding realme C11

realme C12 merupakan penambahan terbaharu dalam siri C yang merupakan kelas permulaan dalam keluarga realme. Tidak lama selepas realme C3 diperkenalkan, realme C11 pula diumumkan.

Ia diposisikan dibawah C3 membawakan spesifikasi dan harga lebih mampu milik. Untuk lebih mendekatkan jurang antara model C11 dan C3, kini realme mengumumkan pula C12.



Ia hadir dengan sedikit naik taraf berbanding C11, namun tidak terlalu tinggi untuk bersaing dengan C3.

Kami di Wiser sudah menerima peranti ini untuk sesi reaksi awal. Mari kita lihat apakah penawaran realme melalui realme C12 ini.

Rekaan


Memegang realme C12 dengan senangnya pengguna boleh mengetahui ia merupakan peranti kelas permulaan. Bahan binaannya plastik secara keseluruhan namun menawarkan genggaman selesa dengan tekstur unik bercorak di belakangnya.

Tekstur yang sama diperlihatkan pada realme C11 sebelum ini. Akan tetapi kali ini coraknya sedikit berbeza dengan garisan yang membahagikan 3 tona garis-garis halus kasar.



Warna yang kami terima merupakan warna Coral Red yang mana bagi kami merupakan warna yang agak menarik dan cantik.

Bahagian kanan peranti memperlihatkan butang kuasa dan laras bunyi manakala kiri pula adalah slot dwi-sim.



Sayangnya peranti ini masih menggunakan pengecasan micro-USB. Sedikit mengecewakan kerana Xiaomi sudah tidak menggunakan port jenis ini pada siri Redmi 9 mereka. Terdapat pembesar suara mono dan kemudiannya bicu audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian bawah.



Bahagian atas tiada apa-apa. Jika dilihat sedikit kebawah, pengguna akan nampak earpiece yang digunakan untuk tujuan panggilan.



Secara keseluruhannya, walaupun bahan binaannya plastik, kami agak suka dengan pendekatan yang dilakukan oleh realme. Mereka tidak mempersembahkan ilusi plastik-kaca seperti kebanyakan pengeluar lain. Sebaliknya menghasilkan tekstur unik dengan pilihan warna yang cantik.

Spesifikasi


realme C12 merupakan peranti bersaiz besar, namun ia merupakan saiz normal untuk peranti masakini dengan paparan berukuran 6.5 inci panel IPS LCD.



Skrinnya adalah beresolusi HD+ sahaja dan menampakkan pixel yang sedikit pecah. Namun, untuk harganya yang rendah, ia bukanlah satu isu yang perlu dibangkitkan. Untuk swafoto, peranti menggunakan kamera swafoto 5MP dalam takuk kecil.

Bahagian belakang memperlihatkan konfigurasi 3 kamera dimana ini merupakan perbezaan ketara dari realme C11 yang hanya mempunyai 2 lensa belakang sahaja.

Untuk realme C12, terdapat satu tambahan lensa 2MP makro di samping 13MP utama dan 2MP depth. Ia disusun secara petak dan mempunyai sedikit kontur naik namun tidak juga terlalu mencolok mata. Terdapat juga pengimbas cap jari tradisional diletakkan di belakangnya.



Peranti dijana cip pemprosesan MediaTek Helio G35 yang masih sama dengan C3. Untuk RAM ia dimuatkan dengan 3GB berserta storan dalaman 32GB yang disokong microSD.

Bateri pula merupakan perbezaan seterusnya dengan realme C3. Pada realme C12, ia dimuatkan dengan kapasiti 6,000mAh lebih besar dari 5,000mAh pada C3 namun pengecasan pantas masih menggelikan hati iaitu 10W. Ini bermakna jika mahu mengecas penuh, ia akan mengambil masa yang agak lama.

Sampel Gambar


Berikut merupakan sampel gambar yang diambil menggunakan realme C12.


Pendek Kata


Peranti ini bukanlah sebuah peranti yang tidak elok. Cuma kehadirannya ke pasaran sudah tentu akan mengelirukan pengguna. Jika C3 dipasarkan pada harga RM499 dan C11 (3GB RAM) pada RM479, bagaimana realme mahu memasarkan model C12 ini?

Ia tidak boleh dipasarkan berharga lebih dari C3 kerana cipnya kurang berkuasa. Pada masa yang sama tidak boleh kurang dari C11 kerana ia mempunyai spesifikasi naik taraf dari model itu.

Apa yang penting, spesifikasi naik taraf ini dirasakan tidak terlalu penting seperti kamera makro dan bateri besar 6,000mAh.



Memanglah baterinya lebih besar akan tetapi mustahil untuk mengatakan pengguna merasakan 5,000mAh pada C11 itu tidak mencukupi untuk penggunaan harian.

Pada hemat kami, pembelian realme C11 itu pun sudah cukup mencukupi dan pengguna tidak perlu berfikir langsung tentang kewujudan peranti ini.

realme C12 belum dilancarkan lagi di Malaysia ketika artikel ini ditulis. Jadi, kami masih belum mengetahui lagi harga rasmi jualannya. Untuk ulasan lanjut, boleh nantikannya tidak lama lagi.