Realme Bagai Bagi Isyarat Mahu Menggunakan Snapdragon 855 Plus

Umum telah maklum tentang pengenalan cip pemprosesan terbaru dari Qualcomm, Snapdragon 855 Plus yang ditambah keupayaannya pada CPU serta GPU. Menyusuli pelancaran tersebut, ASUS turut menyatakan bahawa cip terbaru itu akan menguasakan ROG Phone 2 mereka yang telah dijadualkan pelancarannya pada 23 Julai nanti.

Kini sebuah lagi syarikat pengeluar seakan-akan memberi bayangan mahu menggunapakai cip tersebut pada keluaran seterusnya. Realme melalui perkongsian pada platform Weibo telah mengalu-alukan kedatangan Snapdragon 855 Plus.



Ketika ini, model dengan spesifikasi terbaik yang dikeluarkan Realme merupakan Realme X yang dilengkapi dengan cip Snapdragon 710. Ini mungkin langkah awal syarikat pengeluar tersebut dalam melebarkan sayap mereka ke dalam pasaran peranti premium.

Terdahulu, terdapat laporan CEO Realme, Madhav Sheth menerangkan perancangan syarikatnya untuk mengembangkan pasaran mereka ke Eropah serta Amerika Syarikat disamping memperkenalkan peranti dengan kebolehan sambungan 5G.

Memandangkan cip pemprosesan Snapdragon 855 Plus tersedia dengan modem X50 untuk rangkaian 5G, kita boleh menjangkakan cip ini hadir pada peranti Realme akan datang. Namun begitu, ini hanyalah desas-desus yang kedengaran ketika ini dan kita perlu nantikan pengumuman rasmi daripada pengeluar itu sendiri.

Sumber: TME.NET dan GSMArena