Realme 5 Dan Realme 5 Pro Diperkenalkan, Mempertaruhkan 4 Kamera

Seperti yang telah dijadualkan, Realme akhirnya mengumumkan secara rasmi siri realme 5 yang membawakan dua model untuk bersaing dalam pasaran.

Mempertaruhkan tetapan 4 kamera, Realme 5 dan Realme 5 Pro dibezakan pada beberapa bahagian spesifikasi.

Realme 5

Versi standard ini hadir dengan skrin paparan 6.5 inci HD+ (720 x 1600p) dengan nisbah paparan 20:9. Menguasakan peranti adalah cip Snapdragon 665 dan dipadankan bersama tiga memori pilihan antara 3GB/32GB, 4GB/64GB serta 4GB/128GB. Ia turut menyokong memori tambahan menerusi kad MikroSD sehingga 256GB dan slot yang disediakan tidak perlu berkongsi dengan slot kad SIM(bukan hybrid).



Bahagian kamera pula menampilkan sensor 12MP  (f/1.8) sebagai lensa utama, lensa ultra lebar, lensa potret diikuti dengan lensa makro. Sensor 13MP yang diletakkan pada takuk pula ditugaskan untuk merakaman bahagian hadapan.



Bateri 5000mAh dibekalkan pada peranti ini dimana ia tidak menyokong pengecasan pantas dan daya yang disalurkan pada port MikroUSB hanya 10W. Realme 5 ditawarkan dengan 2 warna pilihan iaitu Crystal Blue dan Crystal Purple dengan harga bermula 9999 Rupee (~RM583).

Realme 5 Pro

Model paling tinggi spesifikasi dalam acara pelancaran kali ini, Realme 5 Pro kelihatan mempunyai reka bentuk lebih kurang sama tetapi dimuatkan dengan komponen lebih baiik berbanding Realme 5.



Skrin paparan untuk versi ini sedikit kecil iaitu hanya berukuran 6.3 inci Full HD+ dan menerima cip yang lebih baik dari model Pro yang sebelumnya (Realme 3 Pro/Snapdragon 710)  iaitu Snapdragon 712. Cip ini bakal bergandingan dengan memori antara 4GB/64GB, 6GB/64GB dan 8/128GB.



Turut memberikan 4 kamera pada bahagian belakang, Realme 5 Pro mempunyai kelebihan kerana ia dilengkapi dengan sensor 48MP sebagai lensa utama. Lain-lain lensa masih sama seperti Realme 5. Perbezaan juga didapati pada kamera selfie yang mana ia menggunapakai lensa 16MP yang juga terletak pada takuk dibahagian skrin paparan.



Variasi ini hadir dengan bateri berkapasiti 4035mAh yang menyokong pengecasan pantas VOOC 3.0 20W, disalurkan melalui port USB-C. Warna yang ditawarkan adalah Sparkling Blue dan Crystal Green dengan harga permulaan adalah 13,999 Rupee (~RM816). Penjualan di India akan bermula pada 4 September.