Realme 3 Sah Bakal Didatangkan Dengan MediaTek Helio P70, Rekaan Ala Berlian

Baru-baru ini, Realme telah pun mengacahkan mengenai pelancaran Realme 3 tidak lama lagi. Tidak lama selepas itu, CEO Realme Madhav Sheth pula telah mengesahkan bahawa peranti tersebut akan dilengkapi dengan cip pemprosesan MediaTek Helio P70.

Pengesahan itu dibuat melalui satu kicauan di laman Twitter-nya. Beliau turut menyertakan infografik bersama kicauan berkenaan.

https://twitter.com/MadhavSheth1/status/1098444387711938561

Menurut infografik tersebut, sistem cip Helio P70 ini adalah lebih baik berbanding Snapdragon 660 yang lebih popular dikalangan pengguna peranti kelas pertengahan.

Selain itu, Realme juga mengesahkan akan mengembalikan rekaan seakan berlian pada model keluaran mereka itu nanti.

Perkara berkenaan juga telah diumumkan melalui kicauan di laman Twitter rasmi mereka semalam.

https://twitter.com/realmemobiles/status/1098155057672044545

Bagaimanapun, menurut laporan eksklusif daripada portal Android Authority, sistem cip Helio P70 hanya akan ditawarkan di pasaran India sahaja.

Manakala pasaran-pasaran luar India pula hanya akan dibekalkan dengan model Realme 3 yang dikuasakan oleh cip Helio P60.

Realme dilaporkan akan memperkenalkan peranti ini pada bulan hadapan, namun tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut telah direkodkan setakat ini.

 

Sumber: @MadhavSheth1    @realmemobiles   Android Authority