Reaksi Emoji 'Care' Diperkenalkan Pada Aplikasi Facebook Dan Messenger

Bagi menunjukkan sokongan kepada rakan-rakan dan keluarga sepanjang penularan pandemik Covid-19, Facebook telah melancarkan reaksi emoji 'Care' pada aplikasi Facebook dan Messenger.

Facebook reaksi Care

Menurut Facebook, reaksi emoji ini akan muncul dalam semua jenis kandungan platform. Ini bermakna, anda boleh menggunakannya untuk memberi reaksi terhadap kiriman di Facebook, komen, imej, video atau kandungan lain.

Pengguna di laman web Facebook dan aplikasi mudah alih akan melihat reaksi ketujuh yang menampilkan watak "emoji yang memeluk hati". Bagi Facebook Messenger, ia akan mempamerkan emoji berbentuk hati berwarna ungu yang berdenyut.

[embed]https://twitter.com/alexvoica/status/1251090868913819649[/embed]

Untuk mengemaskini reaksi pada Messenger, anda hanya perlu tekan dan hold reaksi 'hati' sedia ada dan jika mahu menukarkannya kembali, ulang perkara yang sama di reaksi yang baru tersebut.

Sudah mula dilepaskan pada 17 April lalu, Facebook turut mengesahkan ia akan tersedia pada aplikasi Facebook dan Messenger secara global pada minggu ini. Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada reaksi tersebut akan kekal atau hanya dalam tempoh tertentu sahaja.