Setiap tahun, Xiaomi akan memperkenalkan siri Redmi Note yang terbaharu. Siri ini sering mendapat sambutan ramai berikutan harga yang mampu milik serta perkakas yang cukup berkuasa untuk kelasnya.
Dengan pengenalan siri Redmi Note 11, Xiaomi Malaysia membawakan 4 variasi model untuk pasaran tempatan iaitu Redmi Note 11, Redmi Note 11S, Redmi Note 11 Pro, dan Redmi Note 11 Pro 5G.
Kami di Wiser hanya menerima model Redmi Note 11 dan Note 11S buat masa ini. Memandangkan Redmi Note 11 dan Note 11S itu sendiri tidak mempunyai banyak perbezaan antara satu sama lain, jadi kami gabungkan sahaja kedua-duanya dalam satu artikel yang sama.
Redmi Note 11 dan Redmi Note 11S adalah merupakan 2 varian terendah dalam siri Redmi Note 11 – yang mana 2 lagi varian lebih berkuasa adalah Redmi Note 11 Pro serta Redmi Note 11 Pro 5G.
Sebagai adik bongsu dalam keluarga Redmi Note 11, Redmi Note 11 masih lagi membawakan naiktaraf sepatutnya dari Redmi Note 10 tahun lepas dengan cip, skrin, dan juga kamera lebih baik. Manakala Redmi Note 11S bertindak selaku model perantara antara Redmi Note 11 biasa dengan Redmi Note 11 versi Pro.
Buka Kotak
Sekilas pandang, kedua-dua kotak Redmi Note 11 dan Note 11S tidak mempunyai perbezaan langsung, malah kedua-kedua kotak juga mempunyai saiz dan fizikal yang sama. – melainkan teks variasi model telefon itu sendiri.
Di dalam kotak, kedua-duanya mempunyai isi perut sama iaitu sarung pelindung, kabel USB-A ke Type-C dan juga pengecas berkuasa 33W.
Rekaan
Siri Redmi Note 11 kali ini buat pertama kalinya membawakan rekaan baharu iaitu didatangkan dengan sisi rata – mungkin mengambil inspirasi dari iPhone 12 dan 13 sebelum ini.
Untuk Redmi Note 11 dan 11S ini, bahagian belakangnya berpanelkan kemasan jenis matte licin. Walaupun jenis matte, disebabkan ia tiada tekstur, ia tetap merangkap cap jari, tetapi tidaklah skritikal kemasan glossy.
Untuk dimensi telefon adalah sama sahaja. Tiada yang salah satunya lagi besar atau lagi kecil dari satu lagi.
Pilihan warna yang diberikan pun sama juga. Baik Redmi Note 11 atau Note 11S, anda ada 3 pilihan warna yang sama untuk setiap varian – hitam, putih, atau biru.
Kami menerima warna yang serupa untuk kedua-dua varian iaitu warna hitam. Warna hitam dan juga kemasan matte ini menjadikan ia nampak dan kemas dilihat dari jauh walaupun hanya sekadar telefon kelas pertengahan sahaja.
Bercakap mengenai bahan binaan, kedua-dua Redmi Note 11 dan 11S hadir dengan binaan plastik, baik panel belakangnya ataupun sisinya.
Namun begitu, saya merasakan binaannya kukuh serta selesa digenggam.
Walaupun sisi telefon ini rata, ia sebenarnya bukanlah 100% sama seperti tema rata pada iPhone 12/13 kerana panel belakangnya masih lagi mempunyai sedikit lengkungan.
Pengalamannya genggamannya juga lebih selesa kerana lengkungan itu tidak tajam kerana mengikut bentuk genggaman jari.
Jika adapun perbezaan paling jelas antara kedua-dua telefon adalah melalui modul kameranya. Pada Redmi Note 11S, kamera utamanya lebih tersembul manakala Redmi Note 11 masih lagi rata.
Pada bahagian sisi kanan terdapat pengimbas cap jari dan butang aras bunyi, manakala bahagian kiri memuatkan slot kad sim. Pada bahagian atas pula masih lagi terdapat bicu audio 3.5mm, pembesar suara serta pemancar inframerah. Pada bahagian bawah pula adanya USB-C serta pembesar suara bawah merangkap juga sistem stereo.
Spesifikasi
Walaupun luar nampak sama sahaja, isi dalaman antara Redmi Note 11 dan 11S mempunyai spesifikasi sedikit berbeza.
Kita mulakan dengan apa yang sama terlebih dahulu.
Pada kedua-dua telefon, ia menggunakan paparan serupa dari 6.43″ inci AMOLED FHD+ 90Hz dengan DotDisplay.
Kapasiti bateri juga adalah sama pada 5,000mAh. Kedua-duanya juga menyokong pengecasan pantas pada 33W.
Kekuatan pemprosesan adalah perkara utama yang membezakan antara kedua telefon.
Pada Redmi Note 11 ia dijana cip Snapdragon 680, manakala Redmi Note 11S dikuasakan oleh MediaTek Helio G96.
Varian memori juga sedikit berbeza, untuk Redmi Note 11, ini adalah varian memori yang boleh dipilih:
- Redmi Note 11 – 4GB/128GB (RM899)
- Redmi Note 11 – 6GB/128GB(RM999)
Manakala Redmi Note 11S pula:
- Redmi Note 11S – 6GB/64GB (RM749)
- Redmi Note 11S – 8GB/128GB (RM799)
Seterusnya untuk kamera, Redmi Note 11S menggunakan sistem kamera lebih berkuasa dengan 108MP utama+8MP sudut lebar+2MP makro+2MP depth dengan swafoto 16MP.
Redmi Note 11 masih juga menggunakan sistem 4 kamera belakang namun menukar kamera utama kepada unit 50MP sementara 8MP sudut lebar+2MP makro+2MP depth masih sama. Unit swafoto pula ditukar kepada 13MP berbanding 16MP pada Redmi Note 11S.
Untuk perisian, kedua-dua Redmi Note 11 dan Redmi Note 11s menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 11.
Ukur Aras
Untuk Redmi Note 11, varian yang diuji adalah 4GB/64GB manakala Redmi Note 11s pula adalah 8GB/128GB. Berikut merupakan hasil ukur aras dari Geekbench, 3DMark, PCWork, serta AnTuTu.
Geekbench
3DMark (Wild Life)
3DMark (Sling Shot)
PCMark (Work 3.0)
PCMark (Storage 2.0)
AnTuTu Benchmark
Secara keseluruhan, Redmi Note 11S dengan cip MediaTek Helio G96 merupakan telefon yang lebih berkuasa dari Redmi Note 11 yang dijana Snapdragon 680. Baik markah CPU mahupun GPU, kesemuanya dimenangi oleh Redmi Note 11S dengan mudah. Mudah kata, prestasi pada Redmi Note 11S adalah lebih bagus dari Redmi Note 11 dari segi potensi kuasa.
Rumusan
Sebagai pengganti kepada siri Redmi Note 10 sebelum ini, siri Redmi Note 11 dilihat masih mampu untuk mengekalkan perkakas-perkakas serta ciri-ciri terkini. Dengan rekaan sedikit berbeza yang lebih segar, skrin lebih baik, serta kamera lebih bagus, sememangnya ia dilihat lebih berbaloi dari siri Redmi Note 10 tahun lepas.
Namun apa yang memberikan keraguan kepada saya adalah sebenarnya Redmi Note 11 tahun ini adalah sedikit lebih perlahan dari Redmi Note 10 tahun lepas. Ini adalah kerana penggunaan cip Snapdragon 680 yang datang dengan binaan CPU lama berbanding Snapdragon 678 Redmi Note 10 sebelum ini.
Ini membuatkan jika anda memilih Redmi Note 11 biasa berbanding Redmi Note 10 untuk bermain permainan, anda mungkin kecewa dengan prestasi atau kemampuannya yang menggunakan cip lebih perlahan. Pun begitu, sepanjang penggunaan awal, tiada tanda-tanda perlahan yang dijumpai pada Redmi Note 11. Malah jika anda tidak mengetahui cip apa pun dalam telefon pun tiada masalah kerana prestasi Redmi Note 11 baik-baik sahaja.
Berbeza dengan Redmi Note 11S yang menggunakan MediaTek Helio G96, ini adalah merupakan naiktaraf terus berbanding MediaTek Helio G95 pada Redmi Note 11S. Cip Snapdragon 680 pada Redmi Note 11 itu pula sebenarnya bukanlah menang besar jika dibandingkan dengan Snapdragon 678. Snapdragon 680 sebenarnya tetap mempunyai kelebihan dari segi proses binaan lebih maju iaitu 6nm berbanding 11nm pada Snapdragon 678.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai prestasi, gaming, dan kamera kedua-dua telefon, nantikan ulasan penuh Redmi Note 11 dan Redmi Note 11S tidak lama lagi.