Samsung dalam acara Galaxy Unpacked yang berlangsung di Paris, Perancis telah melancarkan barisan produk baharu. Seperti mana yang anda telah lihat di arena web beberapa minggu lepas, kesemuanya adalah benar belaka.
Selain Samsung Galaxy Z Fold6, Z Flip6, Galaxy Watch7 dan siri Buds3, Samsung mempersembahkan produk baharu lain, iaitu Galaxy Watch Ultra dan juga Galaxy Ring.
Jadi, di sini saya akan memberikan gambaran kepada anda, apa yang baharu serta menarik bagi telefon boleh lipat dan juga peranti audio mereka.
Galaxy Ring
Sebelum saya bergerak ke produk lain, saya bercerita sedikit tentang Galaxy Ring. Peranti kesihatan dalam bentuk cincin bukanlah sesuatu yang baharu sebenarnya. Samsung mungkin akan mempopularkannya nanti.
Galaxy Ring hadir dengan binaan Titanium gred 5, 10 atm dan juga penarafan IP68. baterinya dikatakan boleh bertahan sehingga 7 hari dan dibekalkan juga bekas pengecasan.
Fungsinya mirip juga jam tangan pintar tetapi pemantauan waktu tidur lebih maju. Ada juga pemberitahuan sekiranya tidak aktif. Lain-lain adalah seperti kita lihat dalam jam tangan pintar Samsung.
Selain itu, Samsung mengatakan yang kehadiran peranti ini bakal memudahkan anda untuk memuat pemantauan kesihatan 24/7. Memakai cincin setiap masa lebih selesa berbanding jam tangan bukan?
Galaxy Ring ditawarkan dalam tiga warna pilihan, iaitu Titanium Black, Titanium Gold dan Titanium Silver. Malang sekali, Samsung Galaxy Ring tidak dibawa ke Malaysia. Buat masa sekarang, hanya pasaran terpilih sahaja.
Siri Galaxy Buds3
Peranti audio terbaru Samsung, iaitu Galaxy Buds3 dan Buds3 sudah ‘diberi nafas baharu’. Rekaannya tidak seperti dahulu yang mana bagi saya sudah cantik dan baik.
Entah mengapa tahun ini Samsung mengikut jejak pesaing mereka lain, bukan sahaja Apple tetapi juga jenama Android lain. Fon telinganya kali ini ada tangkai. Sekali pandang, Buds3 umpama AirPods Gen 3. Sementara Buds3 Pro pula, AirPods Pro.
Peranti ini mempunyai penarafan IP57, ada pengimbas 3D dan menggunakan AI untuk imbas telinga agar fon putik dioptimumkan mengikut telinga anda.
Antara ciri AI lain adalah ‘interpreter’ dalam mod mendengar (listening mode). Ia berfungsi dengan menterjemah secara langsung. Kalau anda ingat fungsi terjemahan dalam Galaxy AI terdahulu, ia kini boleh didengar secara terus menggunakan fon telinga.
Biarpun Samsung membuat perubahan dari segi rekaannya, tetapi bagi saya agak selesa bila dipakai. Tak risau juga kalau terjatuh dari telinga. Pembatalan hingar aktifnya juga berfungsi dengan baik.
Galaxy Z Fold6 dan Galaxy Z Flip6
Sebenarnya, tidak banyak sangat perubahan telefon boleh lipat generasi keenam daripada Samsung.
Pada Galaxy Z Fold6, selain daripada naik taraf biasa seperti cip pemprosesan, ia ada sedikit sahaja lain dari segi dimensinya dan berat. Kali ini saya perasan memang lebih ringan dan lebih sedap dipegang. Kalau anda perasan juga, pada modul kameranya pun ada sedikit ‘cincin’ di keliling lensa.
Mungkin pada Z Fold6 anda tak perasan sangat. Namun, pada Z Flip6, bahagian itu akan mengikut warna peranti. Kalau telefon anda berwarna kuning, kuning lah bahagian tersebut.
Selain itu, saya juga perasan yang kedua-dua peranti jauh lebih ‘boxy’ atau petak. Sisinya tidaklah terlalu bulat atau ‘rounded’. Bagi saya, okay sahaja begini dan sedap juga bila dipegang.
Skrin depannya atau ‘flex window’ pun tampak masih sama. Bezanya di sini lebih banyak widget boleh diletak dan ada hias latar (wallpaper) interaktif. Ciri ini saya nampak mirip pada OPPO Find N3 Flip yang pernah saya guna dahulu.
Walaupun Samsung dah tawarkan struktur engsel dwi-rel, kesan lipatan atau ‘crease’ masih lagi jelas kelihatan. Ia semakin baik tetapi tidak sebaik OPPO.
Samsung Galaxy Z Flip6 ini juga pada saya sangat sesuai untuk wanita di luar sana yang mahu ‘flex’ apabila bergambar swafoto dengan rakan-rakan. Ini kerana ia sudah ada ciri Auto Zoom pada FlexCam secara automatik.
Bila dekat, ia akan zum dengan penggunaan lensa telefoto. Bila jauh, ia boleh sehingga penggunaan lensa ultra lebar. Fungsi ini terasa lancar sahaja.
Ciri Z Flip6 itu dikatakan adalah salah satu ciri AI Samsung. Jadi, tak lengkaplah kalau saya tidak bercerita tentang apa yang baharu dalam Galaxy AI bukan?
Ada beberapa fungsi Galaxy AI baharu yang khusus untuk telefon boleh lipat mereka. Ia adalah naik taraf daripada Galaxy AI terdahulu dan diimplementasi ke dalam siri Fold6 dan Flip6.
Akan tetapi, dua benda yang mencuri perhatian saya. Pertama sekali, “sketch to image”. Ia membolehkan untuk menukar lukisan yang dilakar kepada gambar AI. Mudah kata, ‘noob’ melukis pun boleh jadi power. Jangan risau kalau tak ada S Pen sekali pun sebab boleh saja lukis dengan jari.
Fungsi Galaxy AI kedua ialah Portrait Studio. Ia boleh menukar gambar sendiri kepada karakter atau foto AI. Ada empat pilihan AI diberikan dan boleh ambil sahaja mana yang berkenan. Yang ni saya boleh kata hasilnya agak baik. Taklah muka saya lari sangat.
Tapi mesti anda perasan yang ciri-ciri tersebut ada juga ditawarkan pada Apple Intelligence. Bezanya, AI Apple masih belum boleh dicuba lagi kerana dalam versi iOS 18 beta pun tiada lagi Apple Intelligence.
Kesimpulan
Apa yang saya boleh simpulkan berdasarkan semua produk baharu Samsung ini, tidak banyak sangat perkara baharu sebenarnya. Dari segi produk, tumpuan utama saya lihat Galaxy Watch Ultra.
Kalau telefon pintarnya pula, hanya naik taraf minimum sahaja. Mujur Galaxy AI jadi penyelamat mereka. Ini kerana dengan Galaxy AI untuk Fold6 dan Flip6, adalah keunikan mereka berbanding pesaing lain.
Walau bagaimanapun, saya lihat yang banyak juga Samsung ‘mengambil inspirasi’ daripada Apple. Tatkala peminat mereka bergaduh, jenama mereka ambil juga sedikit sebanyak input pesaingnya biarpun Samsung US gemar membuat kiriman memerli.
Tidak dinafikan juga yang Apple turut ‘mengambil inspirasi’ Samsung dan pesaingnya. Jadi, kita sebagai pengguna pilih sahaja mana yang selesa.
Sama seperti AI mereka, Samsung menyatakan kesemua fungsi Galaxy AI akan percuma sehingga penghujung tahun 2025. Berkemungkinan besar ada ciri berbayar bila masuk tahun 2026.
Apple Intelligence pula, biarpun dipasarkan secara percuma tetapi firasat saya kuat mengatakan yang Apple juga mungkin akan menawarkan pelan berbayar. Mungkin dimasukkan sekali ke dalam pelan Apple One.
Akan tetapi, kelebihan Samsung adalah banyak peranti yang menyokong Galaxy AI. Seperti yang baharu dalam telefon boleh lipat mereka. Walaupun ketika saya bertanya adakah ciri AI pada S Pen itu akan ditawarkan pada Galaxy Fold5 atau Flip5, Samsung mengatakan ‘tunggu’. Saya rasa akan ditawarkan juga menerusi kemas kini One UI tetapi mungkin peranti lebih lama akan ada limitasi dalam Galaxy AI disebabkan perkakas yang dah lama serta kurang berkuasa.
Apa-apa pun, apa pendapat anda dengan barisan produk baharu Samsung untuk pertengahan tahun 2024 ini?
- Beli produk Samsung di Shopee: https://invl.io/clldpa7
- Beli produk Samsung di Lazada: https://invol.co/clldpa1