Reaksi Awal POCO X3 NFC: Macam Mana Boleh Terlampau Murah?

Jika melihat kepada penawaran telefon pintar POCO, mereka kebiasaannya memfokuskan kepada komponen berkuasa tinggi dengan harga yang rendah.

Ini telah dibuktikan dengan pelancaran Pocophone F1 dan juga POCO F2 yang dijual pada harga yang rendah sedangkan prestasinya sangat berkuasa.

Siri X pada POCO sedikit asing untuk rakyat Malaysia kerana belum apa-apa sudah sampai kepada kepada POCO X3. Namun di China, awal tahun ini jenama tersebut ada melancarkan POCO X2.

Bezanya, siri X memfokuskan kepada kelas pertengahan dengan acuan yang sama pada kelas mercu siri F iaitu "spesifikasi tinggi, harga mampu milik".

Dengan pelancaran POCO X3, ia membawa teras strategi jenama ini kepada tahap yang lebih tinggi. Manakan tidak harganya lebih rendah dari siri Redmi Note 9 Pro yang merupakan ahli keluarga mereka juga.



Jika POCO mahu membunuh jenama-jenama lain seperti realme, itu boleh difahami lagi kerana mereka adalah pesaing. Namun, mengapa pula POCO mahu membunuh adik beradik mereka sendiri?

Untuk itu, kami berpeluang untuk beramah mesra dengan telefon pintar terbaharu dari POCO iaitu POCO X3 NFC.

Ia membawakan spesifikasi segar untuk kelas pertengahan seperti penggunaan cip kelas pertengahan terbaharu Snapdragon 732G, pembesar suara stereo, bateri besar 5,160mAh, dan juga kadar segar semula 120Hz.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana pengalaman kami memegang dan merasa sendiri telefon ini, teruskan membaca Reaksi Awal POCO X3 NFC ini.

Buka Kotak


Pertama-pertamanya dahulu, kami sendiri tidak pasti mengapa telefon ini mempunyai nama NFC di hujungnya. Namun, sebagai pendapat, NFC sebenarnya adalah jarang ditemui dalam telefon kelas pertengahan.



Jadi, mungkin POCO menyertakan penamaan NFC ini untuk lebih menyerlahkan lagi model ini berbanding pesaing lain. Pada hemat kami, hanya sekadar POCO X3 sahaja sudah cukup sedap dan tidak memerlukan penambahan NFC tersebut.

Oleh yang demikian, kami akan merujuk telefon ini sebagai POCO X3 kerana ia lebih menyenangkan halwa telinga menyebutnya.

Penawaran POCO X3 adalah ringkas sahaja di dalam kotaknya. Anda akan mendapat:

  • 1x POCO X3

  • 1x Kabel USB-C kepada USB-A

  • 1x Kepala Pengecas

  • 1x Pelindung silikon

  • 1x Pencucuk SIM


Penyertaan pelindung sememangnya tidak asing lagi disebabkan untuk kebanyakan jenama, mereka sudah memberikan pelindung percuma.

Pelindung yang diberikan ini adalah sejenis silikon lembut namun mempunyai tekstur kasar di dalamnya untuk memberikan 'pegangan' yang lebih melekat pada badan telefon.


Rekaan Dan Rupa


Unit yang kami terima adalah berwarna Cobalt Blue yang berwarna biru. Terdapat satu lagi pilihan warna Shadow Grey jika anda mahukan POCO X3 dengan warna yang tidak terlampau menyerlah.

Mengamati warna dan kemasan pada belakang POCO X3 ini, ia boleh dikatakan agak meriah.

Pertamanya, sekali pandang sahaja anda akan melihat tulisan "POCO" yang besar berada pada bahagian bawah belakang. Tulisan ini mempunyai pantulan pelangi yang menonjolkan lagi tulisan yang sudah sedia menonjol itu.



Kemudiannya, terdapat kawasan jalur menegak yang mempunyai garis-garis halus menyendeng 45 darjah di bahagian tengah yang membariskan modul kamera dan juga menempatkan tulisan "POCO" tadi.

Secara keseluruhan, disebabkan kesemua kemasan bahagian belakang bermain dalam satu spektrum warna yang lebih kurang, ia tidak terlampau menyakitkan hati yang memandangnya.

Namun, untuk sesetengah orang. mungkin ada yang melihatnya sebagai papan tanda bergerak. Untuk itu, bergantung kepada tahap penerimaan anda terhadap kemasan belakangnya ini.

Apa yang kami perasan, bahagian belakang ini boleh dilekukkan dengan mudah jika diletakkan pada bahagian atas meja rata. Ini adalah kerana ia diperbuat dari plastik. Jadi, secara tidak langsung, ini merupakan kawasan di mana POCO menjimatkan kos dengan menggunakan bahan binaan plastik.

Namun, bahagian sisinya diperbuat daripada aluminium yang menjadikan telefon lebih kukuh dalam struktur fizikal dan jangka masa panjang penggunaan.

Bergerak sedikit ke atas, terdapat modul kamera dengan rekaan segar yang belum digunakan lagi pada mana-mana telefon pintar lain.



Rekaan modul ini adalah tidak 'berlapik' untuk menonjolkan sisi ketelanjuran bonggol. Namun disebabkan ini telefon kelas pertengahan, kami tiada masalah untuk menerima rekaan sebegini.



Pada bahagian atas, terdapat tulisan melengkung "64MP AI SUPER CAMERA" memberikan petunjuk bahawa kameranya menggunakan sensor 64MP.

Manakala bahagian bawah modul kamera pula ditulis "DESIGNED BY POCO".

Bahagian kanan memperlihatkan pengimbas cap jari yang direka leper yang juga berfungsi sebagai butang kuasa. Tiada pengimbas cap jari pada panel paparan memberikan jawapan kedua di mana POCO menjimatkan kos untuk menghasilkan telefon ini. Di atasnya pula terdapat butang kawalan.



Untuk bahagian kiri, ia meyertakan slot untuk SIM dan juga microSD. POCO menggunakan rekaan hibrid untuk slot ini. Anda hanya boleh menggunakan dwi SIM ataupun 1 SIM dan 1 microSD namun bukan kedua-duanya sekali.



Bahagian atas pula menempatkan pemancar inframerah serta mikrofon. Manakala bahagian bawah lubang USB-C, bicu audio 3.5mm, dan juga pembesar suara.



Secara keseluruhan, telefon ini boleh dikatakan agak tebal dan berat. Mengikut dimensi fizikal, ia hadir dengan 165.3mm x 76.8mm x 9.4mm serta jisim 215g.

Spesifikasi


POCO X3 membawakan paparan berukuran 6.67 inci beresolusi FHD+ IPS LCD dengan kadar segar semula 120Hz. Ia turut hadir dengan input sentuh sepantas 240Hz yang seharusnya memberikan pengalaman gaming lebih responsif.

Di bahagian atas paparan juga diletakkan kamera dengan rekaan berlubang memuatkan sensor swafoto 20MP.



Untuk makluman, telefon ini menyokong pembesar suara stereo. Jadi agak unik juga kerana kebanyakan telefon pada kelas ini hanya mempunyai pembesar suara stereo sahaja.

Telefon ini dijana oleh Snapdragon 732G yang merupakan naik taraf kepada Snapdragon 730G. Ia dipadankan dengan 2 konfigurasi memori iaitu 6GB/64GB dan 8GB/128GB.

 

POCO X3 juga menjalankan MIUI 12 terbaharu berasaskan Android 10.


Sampel Kamera


Kamera utama telefon ini menyokong sehingga 4 lensa dengan gabungan 64MP utama, 13MP sudut lebar, 2MP depth, dan 2MP makro.



Ini adalah sampel gambar yang diambil dari gambar ini.


Bateri


Jika POCO F2 menyertakan bateri berkapasiti 4,000mAh, POCO X3 lebih besar dengan 5,160mAh. Ia juga turut menyokong pengecasan pantas 33W melalui USB-C.

Anda juga tidak perlu risau kerana memang sudah ada pengecas 33W yang disertakan di dalam kotak.



Tambah menarik, ia berwarna merah!

Rumusan Reaksi Awal POCO X3 NFC


Pada masa yang singkat menggunakan telefon ini, spesifikasi yang disertakan sangat mengiurkan tambah-tambah lagi harga jualan yang boleh dikatakan berbaloi.

Ia mempunyai cip Snapdragon 732G, panel 120Hz, pembesar suara stereo, bateri 5160mAh, pengecasan 33W dan pelbagai lagi dengan harga serendah RM899.

Itu untuk varian 6GB/64GB. Untuk 8GB/128GB pula, ia dipasarkan pada harga RM1,099.



Dengan harga sebegini, sudah tentu ia mengecewakan pengguna Redmi Note 9S dan Note Pro disebabkan harga jualan POCO X3 yang lebih rendah.

Namun, perlu diingatkan juga bahawa siri Redmi Note 9 sudah mencapai hujung usia kerana kita kini sudah memasuki musim pelancaran Redmi Note 10 tidak lama lagi.

Apa-apa pun, POCO X3 memberikan reaksi awal yang agak positif. Akan tetapi, seperti kebiasaan, kelemahan, kekurangan, dan juga apa lagi yang lebih menarik mengenai telefon ini, boleh tunggu pada ulasan kami akan datang.

Sebagai info tambahan, pada 9 hingga 10 September 2020, anda boleh dapatkan peranti ini melalui Shopee dengan harga promosi iaitu RM799 (6GB+64GB) dan RM949 (6GB+128GB).

 

Setiap pembelian POCO X3 NFC untuk varian 6GB+64GB akan menerima POCO mousepad dan BlackShark Fun Cooler. Sementara, pembelian varian 6GB+128GB akan menerima POCO digital pouch dan BlackShark Fun Cooler.

https://www.youtube.com/watch?v=sc4IJ8yoIEA&t=51s&ab_channel=WiserMy