Microsoft Surface Go 3, sebuah tablet yang didatangkan dengan sistem operasi Windows dan mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Tanpa membuang masa, mari kita lihat spesifikasi yang ada pada Surface Go 3 ini.
Spesifikasi
- Cip pemprosesan: Intel® Core™ i3-10100Y
- Storan: 8GB RAM (LPDDR3) + 128GB (SSD)
- Skrin: 10.5” PixelSense™ Display
- Grafik: Intel® UHD Graphics 615
- Kamera: 8MP utama, 5MP swafoto
- Pembesar Suara: Stereo (Dolby® Audio™)
- Perisian: Windows 11 (S Mode)
- Bateri: 11 Jam penggunaan biasa (24W)
Pengalaman buka kotak
Dalam kotak, anda akan diperlihatkan tablet Microsoft Surface Go 3 itu sendiri dan dibawahnya terdapat lagi dua kotak diisi dengan manual serta pengecas.
Untuk pengecas, ia didatangkan dengan pengecasan pantas 24W jenis Surface Connect yang mana ia khusus untuk tablet ini. Selain itu, tablet ini juga masih boleh dicas menggunakan lubang USB-C yang ada pada bahagian kanan tablet ini.
Kita berbalik kepada Surface semula. Tablet ini direka dengan rekaan melintang. Pada bahagian depan, anda akan dipaparkan dengan skrin berukuran 10.5 inci PixelSense Display. Pada bahagian atas skrin juga, anda akan dapat melihat satu kamera dan 2 lubang mikrofon.
Pada bahahian atas, ada butang kuasa dan butang audio. Bahagian kanan ada picu audio 3.5mm, USB-C, dan lubang pengecasan Surface Connect dan bahagian bawah pula ada Surface Type Cover Port.
Bahagian belakang pula, anda akan dipaparkan dengan logo Microsoft, dan kamera. Selain itu, tablet ini juga mempunyai slot untuk mikroSDXC yang tersedia dibelakang stand tablet ini.
Didatangkan dengan Windows 11
Microsoft Surface Go 3 ini dijana dengan cip pemprosesan Intel Core i3-10100Y, 128GB SSD storan, 8GB RAM LPDDR3 dan grafik Intel UHD Graphics 615.
Apa yang menarik untuk Surface Go 3 ini adalah ia didatangkan dengan Windows 11 dari dalam kotak. Disebabkan ia adalah sebuah tablet, sudah pasti ia menyokong skrin sentuh.
Seperti yang anda tahu, Windows 11 merupakan Windows terbaharu daripada Microsoft. Saya menyukai animasi dan ikon yang pada sistem operasi ini kerana ia kelihatan lancar dan lebih cantik daripada Windows 10 sebelum ini.
Selain itu, saya juga perasan bahawa Quick Setting dan notifikasi yang lebih cantik serta widget, yang merupakan pembaharuan dibawa ke dalam Windows 11 ini.
Dengan penggunaan Windows 11, gestur skrin sentuh pada tablet ini lebih dioptimumkan. Walaupun tanpa Type Cover, anda masih lagi dapat menggunakan tablet ini untuk penggunaan biasa.
Jangan terkejut dengan harga
Harga yang ditawarkan untuk Microsoft Surface Go 3 varian yang paling rendah ialah RM1,888 dengan cip janaan Intel Pentium Gold 6500Y, 4GB RAM, 64GB storan.
Varian yang ada pada saya ini merupakan varian paling tinggi iaitu dijana dengan Intel i3, 128GB SSD dan 8GB RAM dan harga yang ditawarkan bagi tablet ini ialah RM2,988.
Anda rasa berbaloi atau tak untuk beli Microsoft Surface Go 3 ini dengan harga yang ditawarkan?