Razer Memperkenal Fon Telinga Razer Hammerhead True Wireless Dan Alat Kawalan Gaming Junglecat

Razer sebelum ini pernah mengeluarkan produk bernama fon telinga digelar Hammerhead. Namun fon telinga itu bukanlah sepenuhnya tanpa wayar kerana ia masih mempunyai wayar untuk menyambungkan antara pasangan fon telinga tersebut. Hari ini Razer telah memperkenal versi tanpa wayar untuk produk tersebut, Razer Hammerhead True Wireless.



Dari segi spesifikasi, fon telinga ini dilengkapi rangkaian Bluetooth 5.0 dan juga mempunyai mod Gaming yang mengurangkan lengah sehingga hanya kepada 60ms. Ia dimuatkan dengan 13mm pemacu audio dan juga frekuensi 20-20kHz. Untuk bateri, terdapat 275mAh kapasiti bateri, 3 jam hayat bateri dan 4 kali kitaran cas dengan kerangka fon telinga yang disertakan tersebut. Untuk mengecas, kerangka tersebut mempunyai lubang pengecasan USB-C, dan jika ia disimpan di dalam kerangka apabila tidak digunakan, ia akan dicas secara automatik.

Pengguna boleh memasang aplikasi khas untuk membantu penyambungan fon telinga ke peranti. Ia juga menyokong pembantu suara. Razer Hammerhead True Wireless juga menyokong IPX4 untuk perlindungan daripada peluh/renjisan air. Harga yang ditawarkan adalah pada $99.99 USD iaitu sekitar RM418.

Selain itu, terdapat produk lain juga yang diumumkan iaitu sebuah alat kawalan permainan, Razer Junglecat. Alat kawalan ini mempunyai dua konfigurasi untuk pemain mudah alih dan juga pemain PC.

Dari segi rekaan, ia dimuatkan dengan kawalan analog berkembar. Di bahagian kanan menggunakan butang D-pad, manakala kiri pula 4 butang aksi lain. Razer Junglecat boleh digunakan dalam dua mod. Untuk mod mudah alih, pemain boleh mengenakan alat kawalan terus ke peranti yang disambungkan melalui kerangka yang disediakan. Untuk mod PC, ia boleh disambungkan kepada komputer Windows.



Razer Junglecat disambungkan melalui rangkaian Bluetooth. Ia mempunyai hayat penggunaan lebih dari 100 jam yang dicas melalui USB-C. Pemain juga perlu memasang aplikasi Razer Gamepad App untuk melihat senarai permainan, mengubah tetapan setiap permainan, dan juga mengubah kawalan butang. Setakat ini, ia hanya menyokong Razer Phone 2, Samsung Galaxy Note 9 dan S10+ di US. Manakala untuk pasaran global, sokongan untuk Note 9 dilucutkan dan digantikan oleh Huawei P30 Pro.



Razer Junglecat juga dijual pada harga $99.99 USD iaitu sekitar RM418. Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi Razer Hammerhead True Wireless dan Razer Junglecat, anda boleh layari laman Razer.

Sumber: Razer Hammerhead True Wireless, Razer Junglecat