Pada acara WWDC hari ini, Apple secara rasmi mengesahkan ciri kecerdasan buatan (AI) dinamakan sebagai “Apple Intelligence”. Ciri AI ini datang ke iOS 18, iPadOS 18 dan macOS Sequoia.
1. Siri
Dengan Apple Intelligence, Siri kini lebih semula jadi, relevan dan peribadi. Siri akan diintegrasi lebih mendalam – animasi bercahaya mengelilingi skrin apabila Siri diaktifkan.
Berbanding bercakap, pengguna boleh menaip kepada Siri. Hanya perlu double tap pada bahagian bawah skrin.
Pengguna boleh menerangkan butiran kepada Siri untuk mencari sesuatu perkara. Selain itu, Siri juga boleh melakukan ratusan tindakan dalam aplikasi – seperti menunjukkan kepada pengguna gambar seseorang, membuka buku tertentu, sunting gambar, e-mel dan banyak lagi.
Menurut Apple, Apple Intelligence + Siri tersedia ketika pelancaran, tetapi lebih banyak maklumat akan datang lewat tahun ini.
2. Ringkasan Notifikasi
Apple Intelligence membolehkan peranti memahami bahasa, imej, tindakan dan konteks peribadi. Ia boleh meringkaskan notifikasi, dan terdapat alat tulis yang boleh membantu pengguna menulis dan menyunting tugasan – tersedia secara automatik merentasi Halaman, Nota dan banyak lagi.
Sekiranya menerima e-mel yang panjang, pengguna boleh mendapatkan ringkasan supaya tidak perlu membaca semuanya. Apple Intelligence juga boleh menentukan perkara yang sangat penting dalam e-mel dan membawanya ke bahagian atas peti masuk.
3. Smart Reply
Ciri Smart Reply akan memberikan cadangan balas, mengenal pasti soalan yang ditanya dalam e-mel atau mesej. Seterusnya, pengguna boleh tap untuk memilih respons pantas yang sesuai.
4. Image Playground
Dengan Image Playground, pengguna boleh memilih pelbagai konsep daripada kategori seperti tema, pakaian, aksesori dan tempat; taip penerangan untuk menentukan imej; pilih foto seseorang untuk disertakan dalam imej; dan pilih gaya kegemaran.
5. Clean Up dalam aplikasi Photos
Ciri Clean Up dalam aplikasi Photos boleh mengenal pasti objek yang mengganggu atau tidak diperlukan pada latar imej dan menghilangkannya.
6. Memories
Dengan Memories, pengguna boleh menghasilkan jalan cerita hanya dengan menaip penerangan. Kemudian, Apple Intelligence akan memilih gambar dan video terbaik berdasarkan penerangan, menghasilkan jalan cerita berdasarkan tema yang dikenal pasti daripada foto, dan susunkannya menjadi filem dengan naratif sendiri dan mencadangkan lagu yang bersesuaian.
7. Genmoji
Pengguna kini boleh menjana sebarang emoji yang diinginkan dengan Genmoji, yang merupakan sebahagian dalam ciri Apple Intelligence.
Emoji boleh dihasilkan secara terus dari papan kekunci dengan hanya menerangkan perkara yang diinginkan. Sebagai contoh, meletakkan prompt “T-Rex wearing a tutu on a surfboard” dan emoji tersuai akan dijana berdasarkan teks tersebut.
8. Image Wand
Terdapat ciri Image Wand dalam aplikasi Notes yang boleh mengubah lakaran kasar menjadi imej yang lebih baik.
Hanya perlu bulatkan pada lakaran dan buka Image Playground untuk menyunting dan menjadikannya lebih halus. Pengguna juga boleh membulatkan ruang kosong dan ia akan mencadangkan imej yang sesuai untuk disertakan dalam nota.
9. ChatGPT
Versi terkini ChatGPT (GPT-4o) tersedia dalam iOS 18, iPadOS 18, macOS Sequoia. Ia juga diintegrasi dalam Siri, dan Siri akan meminta kebenaran untuk berkongsi maklumat dengan ChatGPT.
10. Rakam, salin dan ringkaskan
Dalam aplikasi Notes dan Phone, pengguna kini boleh rakam, salin dan ringkaskan audio.
Apabila rakaman dimulakan semasa dalam panggilan, peserta dimaklumkan secara automatik dan sebaik sahaja panggilan tamat, Apple Intelligence akan menjana ringkasan untuk membantu mengingati perkara penting.
11. Privasi
Apple Intelligence dibina dengan privasi pada terasnya. Menurut Apple, pemprosesan pada peranti adalah kunci. Ia mengetahui data peribadi pengguna, tetapi tidak mengumpulnya – hanya mungkin boleh dilakukan melalui integrasi unik perkakasan dan perisian.
Hampir semua tugasan Apple Intelligence boleh dilakukan pada peranti, tetapi apabila pelayan diperlukan untuk sesuatu yang lebih intensif, Apple akan menggunakan Private Cloud Compute. Dengan menggunakan cip Apple bagi menggerakkan pelayan, ia menawarkan privasi dan keselamatan iPhone.
Ketersediaan
Dari segi sokongan, Apple Intelligence hanya ditawarkan untuk peranti dengan sekurang-kurangnya cip A17 Pro serta cip M1 dan terbaharu. Bermakna, hanya iPhone 15 Pro dan terbaharu, serta iPad dan Mac dengan M1 dan terkini yang akan menyokong ciri Apple Intelligence.
Ia akan tersedia dalam kapasiti beta sebagai sebahagian daripada iOS 18, iPadOS 18 dan macOS Sequoia pada September kelak. Bagi mengetahui butiran lanjut mengenai Apple Intelligence, layari pautan INI.
Sumber: Apple Newsroom