Rasmi - Huawei Nova 3 Hadir Dengan 4 Kamera dan Sokongan GPU Turbo

Huawei Nova merupakan satu lagi siri di bawah jenama Huawei selain Huawei Mate, Huawei P dan banyak lagi. Terbaru, Huawei telah mengesahkan mereka akan melancarkan sebuah lagi peranti bagi siri berkenaan iaitu Huawei Nova 3 dalam satu majlis khas pada 18 Julai ini.

Sehubungan dengan itu, mereka telah pun mengesahkan spesifikasi rasmi bagi peranti tersebut melalui penyenaraiannya dalam kedai atas talian mereka, Vmall. Menurut kiriman berkenaan, peranti ini akan hadir dengan 4 kamera iaitu dwi-kamera utama serta dwi-kamera hadapan.

Bagi kamera utama, Huawei menggunakan lensa 16MP RGB dan 24MP monokrom dengan bukaan lensa f/1.8. Manakala bagi kamera swafoto pula, Huawei Nova 3 ini hadir dengan gabungan lensa 24MP + 2MP dengan aperture f/2.0. Kedua-dua lensa kamera hadapan merupakan lensa RGB.

 

 

Peranti ini menggunakan cip pemprosesan Kirin 970 yang disokong oleh memori 6GB serta simpanan dalaman 128GB. Apa yang menarik, ia juga bakal dilengkapi dengan sokongan GPU Turbo untuk prestasi permainan video yang lebih baik, seperti yang didakwa oleh Huawei.

Untuk sistem paparan pula, Nova 3 menggunakan skrin LCD 6.3 inci, FHD+ dengan nisbah 19:9 serta rekaan takuk. Peranti ini mempunyai bateri dengan kapasiti 3,750mAh yang hadir dengan sokongan pengecasan pantas Huawei Super Charge.

Huawei juga dikatakan akan memperkenalkan model Nova 3i dalam majlis yang sama. Peranti Nova 3 ini akan hadir dengan empat pilihan warna iaitu Blue Purple, Bright Black, Light Blue dan Primrose Gold. Harga jualan dijangka cuma akan diketahui semasa majlis pelancaran kelak.

Sumber